fbpx
Ketika ini, terdapat lebih 100 stesen LRT dan MRT di sekitar ibu kota yang menyediakan perkhidmatan ini selain di hotel-hotel.

Inisiatif sewa payung RM2 mudahkan warga kota

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEBAGAI pengguna tegar pengangkutan awam perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) untuk ke pejabat, Nur Shakira Azhar, 25, mengakui cuaca yang tidak menentu antara cabaran terbesar yang adakala membataskan pergerakannya.

Ini kerana, biarpun pejabatnya terletak di tengah ibu kota dan berhampiran stesen LRT, dia masih perlu berjalan kaki sekitar lima minit menyebabkan dirinya terdedah kepada cuaca hujan dan panas.

Justeru, payung antara barangan yang wajib ada di dalam tas tangan Nur Shakira setiap kali sebelum keluar rumah.

“Begitupun, adakalanya saya masih juga tertinggal payung di rumah dan jika hujan, saya terpaksa meredah atau mencari laluan alternatif untuk ke pejabat,” kongsinya.

Nur Shakira berkata, dia mendapat tahu tentang perkhidmatan menyewa payung di lebih 100 lokasi awam seperti stesen LRT dan MRT di sekitar Lembah Klang yang dianggap memudahkan individu sepertinya.

Perkhidmatan Payunglah menyediakan kemudahan berupa kiosk payung yang boleh disewa sekaki serendah RM2 bagi tempoh 24 jam.

Ujar Nur Shakira, dia sudah dua kali menggunakan perkhidmatan itu yang dianggap memudahkan pergerakannya, terutama jika terlupa membawa payung.

“Payung sewa ini memudahkan pergerakan saya kerana sekiranya cuaca tiba-tiba hujan, saya boleh menyewa payung yang disediakan di tepi stesen LRT berdekatan pejabat saya untuk digunakan,” katanya.

Payunglah membantu warga kota terutamanya pengguna LRT dan MRT

Walaupun perkhidmatan itu dikatakan telah wujud sejak awal tahun lalu, namun boleh dikatakan tidak ramai masyarakat awam peka mengenainya sehingga ia tular baru-baru ini.

Inisiatif menarik itu diperkenalkan anak kelahiran Alor Setar, Kedah yang melihat sistem sewaan payung sedemikian semasa tinggal di Shanghai, China.

Kongsi Kuek Yeong Chian, 38, semasa dia menetap di Shanghai pada 2018 sehingga 2020, dia melihat kewujudan vending machine yang menawarkan sewaan payung ditempatkan di stesen-stesen kereta api di bandar tersebut.

Baginya, inisiatif tersebut cukup memudahkan penduduk sekitar yang mungkin terlupa membawa payung.

“Jika diikutkan, Shanghai bandar yang jarang dilanda hujan dalam setahun, namun sepanjang menetap di sana, saya dapati banyak vending machine yang menyediakan perkhidmatan sewaan payung yang cukup memudahkan penduduk di situ.

“Kaedah pembayaran pula adalah tanpa tunai iaitu dengan menggunakan sistem e-dompet dan juga dengan mengimbas kod QR,” katanya kepada K2.

Yeong Chian berkata, dia tertarik dengan idea tersebut dan mahu melihat ia dilaksanakan di Malaysia.

Begitupun, ketika itu, perkhidmatan sewaan perkhidmatan menggunakan sistem bayaran tanpa tunai masih belum begitu meluas di negara ini dan Yeong Chian menganggap pelaksanaannya di negara ini mungkin agak sukar.

Namun, sekembalinya ke Kuala Lumpur di tengah-tengah pandemik Covid-19, Yeong Chian mendapati kaedah bayaran tanpa tunai sudah mulai popular di Malaysia yang mana warga emas juga ramai sudah mahir menggunakan kaedah bayaran dengan kod QR.

“Perintah kawalan pergerakan (PKP) menjadikan semakin ramai orang lebih cakna tentang kaedah pembayaran tanpa tunai ini yang memudahkan urusan harian.

“Selepas mengadakan perbincangan bersama beberapa pihak, maka Payunglah pun diasaskan pada awal tahun lalu sebagai satu perkhidmatan sewaan payung buat warga kota,” katanya.

Yeong Chian berkata, inisiatif itu adalah hasil kerjasama antara Payunglah bersama syarikat penyedia perkhidmatan rel utama negara iaitu Prasarana yang mengendalikan laluan Transit Aliran Massa (MRT), LRT dan monorail di Lembah Klang.

Bukan sahaja di stesen-stesen tren, bahkan kiosk itu turut ditempatkan di beberapa buah hotel sekitar Lembah Klang seperti The Royale Chulan Damansara, Hotel AnCasa Kuala Lumpur, Hotel Furama Bukit Bintang dan Hotel KIP Kuala Lumpur.

Untuk menggunakan perkhidmatan tersebut, pengguna perlu terlebih dahulu memuat turun aplikasi Payunglah di telefon pintar mereka.

Pengguna juga perlu mengisi baki berjumlah sekurang-kurangnya RM20 di dalam aplikasi tersebut sebelum menggunakan khidmat menyewa payung.

“Selepas memuat turun, pengguna akan melihat lokasi stesen LRT yang menyediakan perkhidmatan ini dan juga jumlah payung yang boleh disewa.

“Sekaki payung boleh disewa dengan serendah RM2 untuk tempoh 24 jam.

“Ketika ini, terdapat lebih 100 stesen LRT dan MRT di sekitar ibu kota yang menyediakan perkhidmatan ini, antaranya termasuk stesen LRT Chow Kit, Miharja, Taman Perindustrian Puchong, KL Sentral dan Sunway Lagoon,” kata Yeong Chian.

YEONG CHIAN (dua dari kiri) menunjukkan kepada beberapa pegawai MRT Corp antara rekaan payung yang disediakan Payunglah untuk disewa orang ramai.

Katanya, selepas selesai digunakan, payung-payung tersebut boleh dipulangkan di stesen sama, atau di mana-mana stesen LRT yang menyediakan perkhidmatan Payunglah.

Kongsi bekas pekerja sebuah syarikat swasta itu lagi, biarpun inisiatif tersebut ketika ini amat diterima baik pengguna pengangkutan awam di ibu kota, ramai juga yang menganggap model perniagaan sedemikian tidak akan bertahan lama.

Rata-rata pengguna memberikan contoh sistem sewaan basikal yang pernah diperkenalkan sebelum ini yang kemudiannya dirosakkan oleh individu yang tidak bertanggungjawab.

Yeong Chian bagaimanapun berkata, sistem yang diperkenalkannya membolehkan pengguna membuat pemeriksaan keadaan payung sebelum gunakannya.

“Sekiranya payung yang ada di situ berada dalam keadaan rosak dan tidak boleh digunakan, sistem kami akan mengesan pengguna sebelumnya dan boleh mengenakan caj kerosakan payung kepada pengguna tersebut.

“Sekiranya perkara itu berulang buat kali kedua, pengguna tersebut boleh disekat daripada menggunakan perkhidmatan Payunglah,” katanya yang menasihatkan orang ramai untuk tidak sesekali merosakkan barang sewaan sedemikian, memandangkan ia disediakan untuk kemudahan komuniti.

Selain caj kerosakan, caj menghilangkan payung dan caj kelewatan memulangkan payung juga boleh dikenakan kepada pengguna.

“Selain itu, sekiranya pengguna mahu menyimpan terus payung yang disediakan, mereka juga boleh membelinya daripada aplikasi tersebut,” katanya.

Yeong Chian juga percaya kaedah sekatan itu merupakan salah satu cara terbaik untuk pihaknya menapis pengguna perkhidmatan tersebut, sekali gus mendidik pengguna supaya lebih bertanggungjawab.

Ketika ini, Payunglah berhasrat untuk menambah kemudahan tersebut kepada lebih banyak lagi kawasan awam seperti stesen LRT, stesen monorel dan juga hotel.

“Sasaran kami ketika ini adalah untuk meletakkan payung ini di lebih banyak lagi lokasi lain pada masa akan datang bagi memastikan lebih ramai orang boleh menggunakan perkhidmatan ini,” jelasnya.

Selain itu, Yeong Chian turut menganjurkan pertandingan rekaan atau motif menarik dalam kalangan orang awam untuk dicetak pada koleksi payung Payunglah.

Motif bercirikan Malaysia seperti batik atau bunga raya yang menjadi bunga kebangsaan negara menjadi keutamaan Yeong Chian. Maklumat lanjut berkenaan pertandingan itu boleh diperoleh menerusi laman web Payunglah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN