fbpx

Danial Syahmi impi ‘naik pangkat’ Moto3

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DANIAL SYAHMI berharap dapat beraksi dalam kancah lebih besar seperti kelas Moto3 MotoGP pada 2025. – ZK RACING

PELUMBA muda negara, Danial Syahmi Ahmad Shahril menyifatkan tahun 2024 adalah pen­ting bagi perjalanan kariernya untuk kekal bersaing dalam perlumbaan motosikal di pentas ­antarabangsa.

Pelumba berusia 22 tahun itu mengakui, tiada lagi istilah mahu ‘mencuba-cuba’, sebaliknya perlu bekerja keras bagi mendapatkan keputusan terbaik dalam Kejua­raan Dunia JuniorGP.

Ia bagi membolehkannya berpeluang ‘naik pangkat’ ke pentas lebih tinggi seperti Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) dalam kelas Moto3.

Justeru, Danial Syahmi bertekad mahu segera melupakan episod kekecewaan musim lalu yang didefinisikan sebagai tahun turun naik selepas banyak melakukan kesilapan sehingga jatuh di tangga ke-20 dengan 21 mata dalam kelas JuniorGP.

“Ini tahun ketiga saya dalam perlumbaan JuniorGP Moto3, jadi saya perlu buat terbaik. Saya perlu segera tutup musim 2023 dan fokus pada 2024 dengan menjelmakan keputusan yang cemerlang terutama berada di podium.

“Saya perlu jadikan kesilapan musim lalu sebagai pembelajaran terutama kesalahan pada slow sector yang menyebabkan saya dikenakan penalti se­perti bermula di petak belakang, long lap sehingga menjejaskan ­keputusan.

“2024 boleh dikatakan tahun yang mencabar dan peluang terakhir untuk saya jelmakan keputusan terbaik sekiranya ingin terus bersaing. Saya tiada pilihan selain menampilkan tunggangan terbaik,” katanya yang mengikat kontrak setahun bersama pasukan Junior Talent Team.

Pada 2022, Danial Syahmi yang bersama pasukan Asia Talent Team menamatkan kempen di tangga ke-17 keseluruhan dengan 30 mata dan berada di tempat ke-20 pada saingan tahun lalu.

Dalam pada itu, Danial Syahmia menjelaskan, dia telah memanfaatkan masa cutinya di Malaysia dengan menjalani latihan bersama ZK Racing dan juga jurulatih khas, Sergio Mora.

“Saya menjalani latihan bersama Sergio Mora dan teknik tunggangan saya juga semakin baik. Saya harap 2024 mampu menjelmakan keputusan lebih baik berbanding tahun sebelum ini,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI