fbpx

18 bayi dilahirkan 1 Januari 2024 di HRPB terima baucar TASPEN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saarani (tengah) menyerahkan replika baucar TASPEN bernilai RM200 kepada salah seorang ibu di Wad Bersalin HRPB di Ipoh hari ini. - Foto YAYASAN PERAK

IPOH – Seramai 18 orang bayi yang dilahirkan semalam diraikan Yayasan Perak hari ini menerusi pemberian baucar Tabung Simpanan Anak Perak (TASPEN) bernilai RM200 dalam satu majlis di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.

Menteri Besar merangkap Pengerusi Yayasan Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menyempurnakan majlis tersebut dengan menyerahkan baucar tersebut kepada ibu-ibu yang melahirkan anak di HRPB semalam.

Yayasan Perak dalam satu kenyataan berkata, TASPEN merupakan inisiatif kerajaan negeri Perak melalui peruntukan yang disalurkan kepada Yayasan Perak bagi menggalakkan simpanan pendidikan bagi anak-anak kelahiran negeri ini.

Menurutnya, ia berbentuk sumbangan RM200 seorang dalam bentuk simpanan pendidikan ke dalam akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) Prime.

“Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada Program Tuisyen Cikgu Saarani. Kerajaan negeri memperuntukkan RM0.6 juta yang akan memberi manfaat kepada kira-kira 3,000 bayi kelahiran baru bagi tahun 2024.

“Sumbangan ini telah diwujudkan mulai tahun 2010 dan sehingga akhir tahun 2023 yang lalu, kerajaan negeri telah membelanjakan kira-kira RM6.47 juta dan sejumlah 32,351 bayi kelahiran baru telah pun menerima manfaat ini,” katanya.

Menurutnya, Yayasan Perak telah diamanahkan untuk menguruskan bantuan tersebut bersama Perbadanan Tabung Simpanan Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Katanya, setiap RM200 yang disumbangkan itu akan disimpan di dalam akaun SSPN Prime, satu akaun tabungan direka khusus sebagai akaun tabungan jangka masa panjang dengan kadar pulangan dan kelebihan tertentu yang ditawarkan oleh pihak PTPTN.

“Adalah menjadi harapan kerajaan negeri melalui Yayasan Perak agar simpanan permulaan sebanyak RM200 ini terus ditambah dari masa ke semasa sehinggalah anak-anak ini mencapai usia 18 tahun.

“Sebagai contoh, dengan simpanan berjumlah RM50 sebulan atau RM600 setahun, setiap ibu-bapa akan mempunyai tabungan berjumlah hampir RM16,000, berdasarkan kadar pulangan 4 peratus setahun. Jumlah ini tentulah akan meningkat jika simpanan setiap bulan itu lebih tinggi dari RM50,” katanya.

Menurutnya, bagi terus mempromosikan program TASPEN ke seluruh negeri, Yayasan Perak merancang untuk mengadakan program kesedaran dari masa ke semasa di beberapa buah hospital daerah yang lain dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri dan hospital-hospital berkenaan.

“Untuk permulaan bagi tahun 2024 sebanyak RM10,000 telah disampaikan kepada anak-anak yang dilahirkan di HRPB, Ipoh,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI