fbpx

Peperiksaan bertulis SPM 2023 bermula 30 Januari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Peperiksaan bertulis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 yang melibatkan seramai 395,870 bermula 30 Januari hingga 7 Mac ini.

Kementerian Pendidikan (KPM) berkata, ujian bertutur Bahasa Melayu akan bermula 8 hingga 11 Januari manakala Bahasa Inggeris pada 17 hingga 23 Januari.

“Bagi ujian mendengar Bahasa Melayu dan Inggeris pula akan dilaksanakan pada 29 Januari,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kata KPM, bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan kali ini, seramai 129,635 petugas peperiksaan dilantik bagi membantu 3,340 pusat peperiksaan disediakan di seluruh negara.

“KPM ingin mengingatkan semua calon peperiksaan SPM 2023 agar merujuk jadual waktu peperiksaan bagi mendapatkan maklumat mengenai tarikh, masa, kod dan kertas peperiksaan, serta arahan yang perlu dipatuhi sepanjang peperiksaan berlangsung.

“Jadual waktu peperiksaan tersebut boleh dimuat turun dari laman sesawang Lembaga Peperiksaan melalui pautan lp.moe.gov.my,” ujarnya.

Tambah KPM, calon diingatkan supaya membawa dokumen pengenalan diri dan pernyataan pendaftaran peperiksaan ke pusat peperiksaan.

Calon juga katanya, hendaklah mematuhi prosedur operasi standard dan peraturan yang ditetapkan bagi memastikan kelancaran pengurusan pengendalian peperiksaan SPM 2023.

Dalam menghadapi sebarang kemungkinan bencana termasuk musim banjir, KPM memaklumkan, pihaknya sentiasa siap siaga dengan mekanisme dan langkah persediaan sewajarnya termasuk bekerjasama dengan agensi kerajaan lain.

“Semua calon peperiksaan SPM 2023 dinasihatkan untuk memaklumkan kepada pihak sekolah atau jabatan pendidikan negeri dengan segera sekiranya tidak dapat hadir di pusat peperiksaan yang telah ditetapkan atau mana-mana pusat peperiksaan berhampiran disebabkan oleh bencana,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI