fbpx

Bayi ‘tak sabar’ lahir tahun baharu, sepatutnya 2 minggu lagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara bayi yang dilahirkan pada tahun baharu di HTAR, Klang. - Foto oleh AFIQ RAZALI / KOSMO!

KLANG – Seorang suri rumah tidak menyangka anak ketiganya akan lahir pada 1 Januari berbanding jangkaan awal dua minggu lagi.

Nurul Aini Md. Azmi,31, berkata, dia mula merasa sakit pada kandungannya kira-kira pukul 2 pagi ketika berada di rumahnya sekitar daerah ini sebelum mengadukan kepada suaminya.

“Kami kemudian terus ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) dan doktor maklumkan bahawa saya akan bersalin pada hari ini.

“Alhamdulillah, saya selamat melahirkan anak lelaki seberat tiga kilogram (kg) pukul 5.39 pagi,” katanya, hari ini.

Dia ditemui ketika program sambutan bayi tahun baharu 2024 di Kompleks Rawatan Ibu dan Bayi (KRIBA) HTAR, di sini yang turut dihadiri Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis), Datin Seri Masdiana Muhamad.


Masdiana (tiga dari kanan) melihat anak Nurul Aini Md. Azmi bersempena dengan program itu di HTAR, Klang hari ini. – Foto oleh AFIQ RAZALI / KOSMO!

Jelas Nurul Aini, mereka belum menamakan lagi anaknya, namun sudah memikirkan beberapa nama yang sesuai untuk bayi ketiga itu.

Sementara itu, S. Sri Moogambigai, 34, menzahirkan rasa syukurnya apabila menimang cahaya mata pertama kira-kira pukul 6.20 pagi tahun baharu iaitu selepas dua tahun berkahwin.

Dalam pada itu, Pengarah HTAR, Dr. Zulkarnain Mohd. Rafi berkata, seramai enam orang bayi telah dilahirkan di hospital tersebut setakat pukul 10 pagi, hari ini.

“Kami menjangkakan akan ada bayi yang lahir pada hari ini, namun tidak mempunyai maklumat tepat berapa jumlahnya,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI