Lumut selain terkenal sebagai destinasi pelancongan yang popular, ia memiliki satu keunikan luar biasa yang telah menarik minat pelabur luar iaitu Port of Antwerp-Bruger International (PoABI) untuk bekerjasama dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) bagi membangunkan Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC).
PoABI, anak syarikat Port of Artwerp-Bruges yang terletak di Belgium merupakan pelabuhan kedua terbesar Eropah.
Menurut Ketua Eksekutif PKNPk, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak, ia bukan projek pelabuhan tetapi sebuah bandar perindustrian maritim yang kompleks dengan konsep pembangunan yang unik dan baharu sekali gus bakal mengubah landskap Lumut sebagai sebuah bandar baharu yang moden serta menarik minat lebih banyak pelaburan asing.
“Sebagai anak jati dari daerah Asam Kumbang,Taiping, saya berkeyakinan ini adalah masa yang tepat untuk kita menguasai bidang logistik dan perindustrian serta maritim. Ini adalah bidang baharu bagi PKNPk dan kita mampu melaksanakan untuk pertumbuhan ekonomi jangka panjang ” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

KOSMO!: Boleh jelaskan tentang projek LuMIC?
Redza Rafiq: LuMIC adalah kawasan perindustrian yang lengkap untuk memenuhi pelbagai bidang khususnya maritim dan logistik. Ia meliputi kawasan seluas 8,800 hektar dan akan dibangunkan dalam beberapa fasa selama 25 tahun.
Projek ini juga dijangkakan menawarkan lebih daripada 50,000 peluang pekerjaan kepada anak tempatan. Ia juga merupakan pelabuhan dan fasiliti maritim pertama yang direka bentuk sebagai bandar perindustrian maritim.
Apakah keunikan projek LuMIC?
Ini bukan hanya projek berkaitan pelabuhan tetapi ia adalah satu kawasan perindustrian yang lengkap dengan infrastruktur dan juga ekosistemnya tersendiri yang mana di situ ada sekolah kejuruteraan dan institusi pengajian tinggi.
Apa yang kami lakukan ini bakal melangkaui apa yang ada dalam industri maritim. Landskap geografi dan rantaian nilai dari segi bakat tempatan sedia ada di Lumut bersesuaian dengan aspirasi LuMIC.
Kami bawakan perkara baharu di sini dan ia akan dibangunkan mengikut kajian yang dilaksanakan bersama PoABI. LuMIC bukan sahaja akan menjadi pintu masuk serantau bagi industri tetapi juga akan dibangunkan menjadi sebuah nama yang disegani dalam industri maritim serantau.
Bagaimana terjalinnya kerjasama PKNPk dengan PoABI, berapa lama perbincangan yang diambil?
PoABI datang melawat sebanyak dua kali ke Lumut dan mereka berminat dengan projek ini sebab ia seperti ada kesamaan dengan apa yang ada di negara mereka. Pihak PoABI ada pelabuhan sungai, terdapat banyak terminal, sungai dan juga banyak kawasan perindustrian.
Ini adalah projek pertamanya di Asia Tenggara. Pada peringkat awal, kami telah memeterai perjanjian pada bulan Oktober tahun 2022 dan diikuti dengan perbincangan demi perbincangan hinggalah ke peringkat semasa.
PKNPk telah memulakan fasa seterusnya bagi pakatan strategik dengan PoABI. Matlamatnya adalah untuk menjadikan negeri ini sebagai pusat maritim dan logistik terkemuka sambil memanfaatkan peluang pertumbuhan sosioekonomi.

Apa perancangan untuk fasa seterusnya?
PKNPk telah memeterai perjanjian pemegang saham usaha sama (JVSA) dengan PoABI untuk menubuhkan LuMIC Development Sdn. Bhd. (LuMIC DevCo) sebagai sebuah syarikat tujuan khas bagi kami membangunkan dan menguruskan LuMIC secara bersepadu.
Melalui syarikat tersebut, PKNPk memegang ekuiti sebanyak 51 peratus, manakala bakinya oleh PoABI. Selain itu, kami juga melancarkan Program Latihan Amali LuMIC yang bertujuan untuk membangunkan dan mengekalkan kakitangan berbakat.
Program latihan amali ini adalah inisiatif untuk melonjakkan pembangunan bakat dan melahirkan sekumpulan belia mahir dalam industri maritim.
Apakah kerjasama yang terlibat?
PKNPk akan menyumbang ilmu pengetahuan, pengalaman pertumbuhan dan rangkaian tempatannya yang luas untuk merangsang pertumbuhan LuMIC. PoABI pula akan memanfaatkan kepakaran antarabangsanya sebagai salah satu daripada perunding pengurusan pelabuhan terbesar di Eropah dengan membawakan keupayaan dan ilmu pengetahuan dalam pengurusan projek yang meluas serta juga latihan untuk membantu menjamin kejayaan LuMIC.
Kerjasama dengan PoABI juga melibatkan pemindahan ilmu dan kepakaran teknikal kepada pihak-pihak berkepentingan tempatan.
Apakah cabaran dalam melaksanakan projek ini?
Isu utamanya adalah pemahaman komuniti dan pelabur terhadap projek ini kerana konsep ini jarang orang dengar kerana ia merupakan sebuah bandar maritim. Namun, kami percaya LuMIC mempunyai visi tersendiri malahan mungkin dapat dijadikan sebagai pencetus konsep bandar maritim perindustrian baharu untuk sektor tempatan. -KOSMO! ONLINE














