KUALA LUMPUR – Video tular memaparkan beberapa individu menari sambil mendengar muzik di sebuah hangar berlatar belakangkan tulisan PDRM adalah program Rock The World 2023, yang diadakan 16 Disember lalu.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, premis terbabit adalah pangkalan Pasukan Gerakan Udara (PGU) Kuala Lumpur yang telah ditutup.
“Kita mengesan klip video beberapa individu menari sambil mendengar muzik berdurasi 16 saat itu di Twitter semalam, kira-kira pukul 3.30 petang.
“Polis menerima pemakluman terbabit dan lesen dikeluarkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
“Premis itu telah lama ditinggalkan dan diserahkan sepenuhnya kepada pihak pemaju,” katanya dalam kenyataan tengah malam tadi.
Sehubungan itu, Amihizam menggesa orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi tidak berasas berhubung video tular itu.
“Sebarang pertanyaan atau maklumat berkaitan boleh menghubungi Hotline Polis Brickfields di talian 0322979222 atau pergi ke mana-mana balai berhampiran,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE