PETALING JAYA – Seramai 40,000 bayi yang lahir sepanjang tahun 2024 di seluruh negara bakal menerima sumbangan sebanyak RM1,000 dalam bentuk barangan keperluan termasuk baucar tunai bersempena ulang tahun EON CO. (M) BHD. (AEON Malaysia) yang ke-40.
Ketua Pegawai Dagangan dan Pemasaran AEON Malaysia, Low Ngai Yuen berkata, kempenn yang dikenali AEON Celebrates 2024 Babies itu adalah terbuka kepada semua rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas yang bakal menyambut kelahiran bayi mereka sepanjang tahun 2024.
“Kempen ini adalah antara usaha untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan terutamanya dari segi sokongan emosi, mental dan fizikal di samping mengurangkan bebanan kewangan pasangan yang bakal menyambut kehadiran permata hati mereka.
“Malah para ibu yang sedang menanti hari istimewa kelahiran bayi mereka turut dijemput untuk mendaftar lebih awal supaya pihak AEON boleh mula menghulurkan bantuan termasuk persediaan dari segi keperluan dan kelengkapan ketika sedang hamil sehinggalah mereka akan bersalin termasuk penyediaan pemakanan sihat, keperluan pakaian dan produk penjagaan diri,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) hari ini.
Sementara itu, PPUM yang terpilih sebagai institusi penjagaan kesihatan yang pertama menjayakan kempen anjuran pihak AEON Malaysia, menjangkakan lebih 500 orang bayi bakal dilahirkan di pusat perubatan tersebut akan menikmati keistimewaan yang ditawarkan ini.
Pengarahnya, Prof. Dr. Nazirah Hasnan berkata, PPUM yang merupakan salah sebuah hospital rakan bayi diiktiraf di Malaysia sentiasa menyokong usaha murni badan korporat sepertimana dilaksanakan oleh pihak AEON Malaysia.
“Sudah pasti usaha murni seperti ini memberi manfaat secara langsung serta kegembiraan kepada para ibu dan bayi yang baru dilahirkan,” katanya.
Dalam pada itu, seorang ibu, Chan Sook Hwa yang baru sahaja melahirkan bayi lelakinya berkata, pemilihan bayinya sebagai salah seorang penerima sumbangan daripada Aeon adalah permulaan baik dan paling menyeronokkan pada tahun 2024.
“Saya bersyukur, ini merupakan permulaan yang baik bagi kami sekeluarga. Ini adalah keseronokan berganda selepas melahirkan bayi pertama saya. Bayi saya ini pun tidak banyak kerenah sejak saya mengandung sehingga lahirkan dia.
“Saya akan namakan anak saya dengan satu nama yang memberi maksud seorang yang bersopan, bijak serta menjadi orang yang bersemangat kuat dalam kehidupan dia nanti,” katanya. – KOSMO! ONLINE.