fbpx

2024 lebih mencabar akibat perang tak habis-habis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Peperangan bukan sahaja memusnahkan ketamadunn sesebuah negara, tetapi turut menganggu ekonomi di peringkat global.

PETALING JAYA – Rakyat perlu bersedia dengan sebarang kemungkinan dan melakukan persiapan demi mendepani tahun 2024 terutama berkaitan isu ekonomi global yang berpunca daripada peperangan dan ketidaktentuan cuaca.

Timbalan Dekan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Ts. Dr. Anuar Shah Bali Mahomed berkata, pe­perangan yang berterusan dan fenomena El Nino di peringkat global berpotensi untuk mempengaruhi kenaikan harga barangan khususnya bekalan makanan.

“Perang antara Russia dan Ukraine telah berpanjangan lebih 650 hari. Rantau ini merupakan pembekal tenaga yang utama dan laluan perkapalan yang amat penting. Kita juga dapat lihat kesan daripada peperangan ini telah menyebabkan berlakunya krisis makanan terutamanya melibatkan bekalan gandum.

“Manakala, Timur Tengah pula merupakan penyumbang utama bekalan minyak global. Pada ketika ini, dengan berlakunya ketidakstabilan di rantau tersebut, ia berpotensi membawa kepada kenaikan harga minyak disebabkan oleh potensi gangguan bekalan.

“Sejarah sebelum ini telah membuktikan bahawa krisis di Timur Tengah acap kali menyebabkan kenaikan harga minyak, menjejaskan kadar inflasi dan imbangan perdagangan global. Bahkan ia turut melibatkan keselamatan makanan bukan sahaja di Palestin bahkan boleh merebak sekiranya krisis tersebut berpanjangan,” ulasnya. 

Menurut Dr. Anuar, kesan peperangan antara Israel dan Palestin akan lebih jelas kelihatan melalui pertumbuhan ekonomi global pada suku keempat 2023 dan seterusnya pada tahun 2024 yang bakal merungkai sejauh mana peperangan tersebut dapat memberikan kesan terhadap pertumbuhan ekonomi global.

“Amat berpotensi peperangan antara Israel dan Palestin ini menyebabkan berlakunya gangguan rantaian bekalan di seluruh dunia. Malah, konflik ini juga boleh menyebabkan pasaran kewangan menjadi tidak stabil dan harga komoditi berpotensi meningkat.

“Sungguhpun Malaysia merupakan negara pengeluar minyak, namun negara kita bukanlah negara pengeluar minyak utama di dunia dan tidak berada dalam senarai 10 negara pengeluar minyak terbesar. Apa yang lebih merisaukan adalah masalah keselamatan makanan bukan sahaja berlaku di Palestin bahkan ia boleh merebak lebih jauh sekiranya krisis tersebut berpanjangan,” katanya. 

Dalam konteks ekonomi, menurut Dr. Anuar, Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) mengunjurkan ekonomi global akan lebih perlahan tahun hadapan. 

“Secara perbandingan unjuran pertumbuhan global dijangka sederhana daripada 2.9 peratus tahun ini kepada 2.7 peratus pada 2024. 

“Manakala, baru-baru ini, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) turut mengunjurkan pertumbuhan global yang perlahan daripada 3.5 peratus tahun 2022 kepada 3.0 peratus tahun 2023 dan 2.9 peratus bagi tahun 2024,” katanya. 

Dr. Anuar berkata, negara juga perlu berhati-hati dengan fenomena El Nino yang berkemungkinan menyebabkan negara mengalami kemarau, jerebu dan gelombang haba yang bakal menyebabkan sesetengah tempat mengalami cuaca panas diluar kebiasaan. 

“Perkara ini turut menyebabkan berlakunya penggunaan elektrik yang lebih tinggi yang meningkatkan kos bil elektrik. Sebelum ini, kira-kira 1.2 juta isi rumah dengan bil elektrik RM220 sebulan akan mengalami kenaikan antara 4.2 hingga enam peratus bil bulanan mulai 1 Januari 2024 sebagai langkah penyasaran semula subsidi elektrik,” katanya.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan keadaan cuaca yang tidak menentu boleh mempengaruhi pengeluaran makanan, lebih-lebih lagi apabila negara mempunyai kebergantungan terhadap barangan import yang tinggi. 

“Mengikut laporan daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, RM75.54 bilion import makanan dicatatkan tahun 2022, berbanding RM63.59 bilion pada 2021 iaitu peningkatan sebanyak 18.7 peratus. 

“Eksport Malaysia pula secara konsisten menurun dan terbaharu menurun sebanyak 5.9 peratus kepada RM122.1 bilion pada November 2023,” ujarnya. 

Tambahnya, selagi kita bergantung kepada barangan import, selagi itu masalah tidak akan selesai. 

“Kesemua kerajaan negeri juga perlu turut sama dilibatkan secara berterusan dalam pelaksanaan Kempen Beli Barangan Malaysia agar kesannya akan menjadi lebih baik kepada ekonomi negara dan negeri,” katanya. 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI