fbpx

Penyamun ‘wanted’, 16 rekod jenayah mati ditembak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota polis ketika di lokasi kejadian seorang penjenayah mati ditembak di Sungai Lembu, Bukit Mertajam, awal pagi tadi.

SEBERANG PERAI – Seorang penjenayah yang dikehendaki maut selepas berbalas tembakan dengan pasukan polis berdekatan kawasan ladang kelapa sawit di Jalan Sungai Lembu di sini, tengah malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.35 tengah malam tadi, suspek lelaki berusia 44 tahun itu disahkan mati selepas kenderaan Utiliti Sukan (SUV) jenis Proton X70 yang dia pandu terbabas di kawasan berkenaan yang juga terletak berhampiran jirat Cina.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, sepasukan polis dari Bahagian Jenayah Berat (D9), Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pulau Pinang telah terserempak dengan kereta SUV terbabit ketika melakukan rondaan cegah jenayah.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati kenderaan itu telah menggunakan nombor pendaftaran palsu dan terlibat dalam dua kes samun di Butterworth, baru-baru ini.

“Polis telah memperkenalkan diri dan meminta suspek memberhentikan kenderaannya untuk pemeriksaan tetapi suspek bertindak melarikan diri dan melepaskan tembakan ke arah polis.

“Suspek memecut laju kenderaannya kira-kira sejauh 200 meter sebelum terbabas di Jalan Sungai Lembu di sini berhampiran jirat Cina.

“Suspek kemudian keluar dari SUV sebelum bertindak mengacukan pistol ke arah pasukan D9 dan bagi mempertahankan diri polis telah melepaskan beberapa tembakan ke arah suspek sebelum menemuinya mati berhampiran kenderaan berkenaan,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian, pagi tadi.

Dalam kejadian itu, polis turut merampas pistol jenis semi auto yang digunakan suspek.

Beliau memberitahu lagi, siasatan lanjut mendapati suspek mempunyai 16 rekod jenayah lampau berkaitan dadah, kes samun, Akta Senjata dan Bahan Kakisan.

“Suspek juga giat melakukan jenayah samun bersenjata itu secara solo di tiga negeri iaitu Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Melaka.

“Suspek juga dikehendaki dalam dua kes samun membabitkan premis nombor ekor dan kedai runcit di Butterworth,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI