fbpx

[VIDEO] Lelaki sweater biru simbah cat merah diburu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rakaman CCTV memaparkan perbuatan suspek melempar cat merah ke arah pintu pagar hadapan rumah mangsa di Taman Kuala Bekah, Kepala Batas, kelmarin.

SEBERANG PERAI – Polis sedang memburu identiti seorang lelaki yang disyaki bertindak menyimbah cat merah di pekarangan empat buah rumah termasuk beberapa kenderaan di Taman Kuala Bekah, Kepala Batas di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Mohd. Asri Shafie berkata, pihaknya menerima empat laporan berhubung kejadian berlaku daripada mangsa, semalam.

“Hasil semakan pada rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di salah sebuah rumah mangsa, kita dapati perbuatan membaling cat itu dilakukan seorang lelaki yang menunggang motosikal.

“Justeru, pihak forensik telah menjalankan siasatan di lokasi kejadian dan mengambil sampel cat dan botol cat yang ditinggalkan suspek bagi tujuan analisa,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, siasatan awal mendapati salah seorang mangsa telah melakukan pinjaman wang secara talian iaitu menerusi laman sosial Facebook pada November lalu.

“Mangsa juga mengesahkan telah menjelaskan bayaran balik, namun masih diganggu pemberi pinjaman yang menuntut bayaran tambahan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 bagi kesalahan menawarkan pinjaman wang tanpa lesen dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat,” ujarnya.

Tambahnya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kejadian ini diminta untuk tampil membantu siasatan dengan Sarjan Mohamad Azhar Abd Sukor dan Sarjan Norlida Bidrus di talian 04-5672222 atau 04-3232422.

Terdahulu, tular video berdurasi 15 saat yang memaparkan beberapa buah rumah dan kenderaan milik penduduk yang disimbah cat merah oleh suspek lelaki yang mengenakan sweater biru dan bertopi keledar pada waktu malam. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI