fbpx
AYU yang merupakan seorang ibu tunggal, bekas pramugari dan usahawan kek mencipta sensasi baru-baru ini apabila menjadi wanita berhijab pertama dimahkotakan Mrs National World 2023 dalam pertandingan di Thailand. Pakaian - Jimmy Couture & Tyra Remy Collection/ Solekan @makeupby_nazrisulaiman dan doubleeventmanagement

Mandiri hidup Ayu Omar Mrs National World 2023

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

HILANG kata-kata. Itu yang dirasakan wanita cekal bernama Ayu Omar tatkala kontraknya sebagai kru kabin Penerbangan Malaysia ditamatkan tiga tahun lalu.

Ketika itu, wanita berusia 30 tahun ini mengakui tidak tahu untuk berbuat apa kerana itulah satu-satunya periuk nasi dan sumber kewangannya.

Sedih, buntu memikirkan jalan keluar, Ayu nekad untuk mula ‘mengasapkan’ dapurnya dengan cara membuat dan menjual kek demi kelangsungan hidup.

Ketika itu, apa yang difikirkan tidak lain tidak bukan hanyalah mengenai anak tunggalnya yang masih memerlukan dirinya waima apa jua berlaku.

Tanpa berlengah, dia nekad menggunakan bakat memasak yang mengalir dalam darahnya untuk mencuba membuat burnt cheese cake (kek keju bakar) buat pertama kalinya.

“Pada ketika itu, saya memang tak fikir apa selain fikirkan anak dan kelangsungan hidup.

“Kalau sebelum ini, saya memang harapkan gaji sebagai kru kabin untuk hidup dan bayar semua komitmen, tetapi selepas ditamatkan kontrak, saya reda dan kena fikir bagaimana untuk teruskan hidup.

“Nak cari kerja lain yang setanding gaji tempat lama bukan mudah kerana pada masa itu negara kita sedang menjalani perintah kawalan pergerakan (PKP) dan tiada mana-mana syarikat mahukan pekerja,” katanya yang bangkit selepas kehilangan kerja pada era pandemik Covid-19 kepada Aura.

AYU
yang meraih
Mrs. National World 2023 berdiri bersama peserta Thailand (tengah) dan Denmark (kiri) yang mengungguli pertandingan
di Bangkok baru-
baru ini.

Jelasnya, memulakan perniagaan secara dalam talian bermodalkan RM100, dia yakin perniagaannya Bella The Bakers mampu mencuri perhatian penggemar kek dan pastri.

Katanya, Bella The Bakers dipilih dan diambil inspirasinya daripada semangat pengasas Mamasab atau Puan Sabrina Soobri yang terkenal di dalam industri keusahawanan kek dan makanan.

Sejak dari itu, Ayu atau nama lengkapnya Rahayu Omar memberitahu perniagaan kecil-kecilannya mula mendapat perhatian yang dibantu dengan promosi dan jualan daripada rakan-rakan terdekat.

Ujar anak kelahiran Kuala Lumpur itu, beberapa bulan berniaga dan mula mendapat ‘rentak’, dia terlihat satu iklan di sebuah saluran televisyen mengenai sebuah program realiti wanita terkenal, Nona Superwoman 2020.

Sekali lagi, dia mula nampak bisnesnya mampu pergi lebih jauh. Dia nekad menyertai program tersebut dengan hadir pada sesi uji bakat.

AYU kini mengusahakan perniagaan kek Bella The Bakers.

Mungkin sudah tertulis rezeki, dia terpilih sebagai finalis walaupun tidak berjaya merangkul gelaran juara. Ketika itu dia mula nampak sinar di hujung terowong dan mengakui sejak itulah semangatnya untuk memperkenalkan Bella The Bakers semakin besar.

“Pada ketika itu, walaupun sedar saya hanya pegang sijil Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM), saya akan buktikan yang saya juga mampu untuk capai kejayaan mengikut cara tersendiri.

“Jatuh tujuh kali, bangun lapan kali. Itulah prinsip dan cara yang saya lakukan sampai ke saat ini sekali gus menjadi pembakar semangat untuk terus ke hadapan,” katanya yang mempunyai seorang anak lelaki yang kini berusia tiga tahun.

Kongsinya lagi, bukan mudah pada fasa awal untuknya memperkenalkan jenama kek yang dipertaruhkan kerana ramai pesaing ketika itu.

Justeru, mengambil kira keunikan yang pelanggan sukakan, dia perlu menjadi seorang yang kreatif dan inovatif dalam mengolah produk yang dihasilkan sekali gus mampu bertahan dalam industri.

Bergelar ibu tunggal pada usia muda ditambah kehilangan kedua-dua orang tuanya pada tahun 2015 sememangnya bukan mudah untuk dilalui.

Akuinya, entah dari mana dia mendapat kekuatan selepas kedua-dua tonggak utamanya pergi, dia tidak lagi mahu menoleh ke belakang meratapi kisah derita lama.

“Selepas apa yang berlaku dalam hidup saya beberapa tahun sebelum ini, saya terima semuanya sebagai satu hikmah.

“Dari situ juga, saya tidak lagi mahu menoleh ke belakang atau dengan erti kata lain bersedih selamanya. Saya bersyukur Allah kurniakan saya seorang teman karib iaitu anak lelaki. Dialah nyawa dan kekuatan saya selepas semuanya terjadi,” tuturnya.

Selepas kehilangan pekerjaan sebagai pramugari akibat pandemik Covid-19, kejayaan demi kejayaan digapai Ayu.

Ayu yang berhijab turut mencipta sensasi baru-baru ini apabila berjaya meraih gelaran Mrs. National Universe Malaysia 2023 sekali gus mewakili negara ke pertandingan peringkat antarabangsa di Thailand dan berjaya dimahkotakan sebagai Mrs. National World 2023.

Pertandingan itu mengetengahkan kejelitaan wanita yang sudah atau pernah berumah tangga.

“Masuk pertandingan ratu cantik ini memang tidak pernah dirancang dan berlaku secara tiba-tiba. Itupun kawan-kawan yang paksa dan suruh saya cuba masuk.

“Masa zaman sekolah pernahlah masuk pertandingan pakaian beragam dan unit beruniform, tetapi nak masuk pertandingan ratu cantik ini tidak pernah pula saya terfikir.

“Saya mula ceburi bidang ini apabila menyahut cabaran rakan-rakan untuk sertai. Masa mula-mula memang janggal sebab tidak pernah sertai. Rezeki saya dapat sampai ke final dan muncul juara serta dinobatkan sebagai Mrs. National Universe Malaysia 2023.

“Kemenangan dan gelaran itu secara tidak langsung melayakkan saya untuk mewakili negara dan bertanding di Bangkok, Thailand. Pada masa itu, saya cuma ada dua hari untuk buat persiapan sebelum terbang ke sana.

“Seminggu di sana, semuanya berjalan lancar dan masa final melayakkan Malaysia untuk mendapat tempat Top 5 dan alhamdulillah saya akhirnya berjaya dimahkotakan Mrs National World 2023,” katanya yang sehingga ke hari ini masih tidak percaya kemenangannya itu.

Berkongsi sedikit cabaran ketika mewakili negara di persada dunia hingga berjaya menundukkan 10 peserta negara lain, Ayu akui ia bukan mudah, namun dipermudahkan segalanya.

“Dinobatkan sebagai Mrs National Universe Malaysia 2023 satu penghargaan dan masih saya tidak percaya sampai sekarang. Inikan pula mewakili negara ke persada antarabangsa dan sekali lagi dimahkotakan.

“Saya percaya semua ini aturan terbaik Allah buat saya. Mungkin Dia tahu ini jalan terbaik untuk saya selepas apa yang saya harungi selama ini,” katanya.

Berkongsi mengenai perancangan selepas ini, Ayu berkata, dia mahu kekal fokus terhadap perniagaan kek yang memasuki tahun ketiga ini, selain mahu melibatkan diri dalam pelbagai cabang bisnes lain termasuk makanan dan kecantikan.

Katanya, dalam masa terdekat, dia bakal melancarkan perniagaan nasi beriani Singapura yang diinspirasikan daripada arwah ibunya yang berasal dari negara itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN