fbpx

Kes pengantin rugi RM13,000 katerer ‘hilang’ disiasat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

JEMPOL – Polis kini dalam proses mendapatkan maklumat lengkap pemilik katering yang didakwa menipu sebuah keluarga pengantin di sini hingga kerugian RM13,000 daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa (pengadu) iaitu wanita berusia 26 tahun yang bekerja sebagai pembantu tadbir kira-kira pukul 12.03 tengah malam iaitu sebelum majlis perkahwinan berlangsung hari yang sama.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati, pengadu telah terpedaya dalam urusan pakej perkahwinan di laman media sosial Facebook pada 3 April lalu dan mengalami kerugian RM 13,200.

“Mangsa yang telah berurusan dengan seorang perancang perkahwinan dari Shah Alam, Selangor kemudiannya membuat pembayaran pertama sebagai deposit secara dalam talian berjumlah RM2,780 sebelum membuat bayaran kedua pada 17 Jun lalu sebanyak RM5,554.

“Seterusnya bayaran kali kali ketiga berjumlah RM4,954 pada 30 Ogos lalu dan secara keseluruhan mangsa membuat pembayaran berjumlah RM13,200, kesemuanya secara dalam talian atas nama sebuah syarikat,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Chang Hook berkata, pengadu bagaimanapun tidak menerima keseluruhan pakej yang dijanjikan tersebut dan membuat laporan polis bagi tindakan selanjutnya.

Menurutnya, polis sedang mengesan nombor akaun bank yang digunakan, selain mendapatkan maklumat pemilik akaun melalui Commercial Crime Intelligence System (CCIS).

Semalam, tular sebuah keluarga mendakwa kerugian RM13,000 akibat ditipu dengan pakej kenduri kahwin yang ditawarkan oleh sebuah pengusaha katering.

Abang kepada pengantin perempuan, Burhanuddin Rabbani Abdul Shukor, 31, berkata, ini adalah kali pertama dia sekeluarga tertipu dengan pakej katering dan pakej pengantin sekali gus menyebabkan mereka mengalami kerugian besar.

Disebabkan itu, mereka sekeluarga terpaksa memasak sendiri hidangan, selain mencari set kerusi meja untuk diletakkan di dalam dewan yang sudah ditempah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI