fbpx

Ramai kawan artis menjauhkan diri, putus kawan – Boy Iman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pelakon Boy Iman mendakwa ada segelintir rakan artis mula menjauhkan diri darinya selepas terpalit dengan dakwaan penipuan.

PETALING JAYA – Pelakon Boy Iman mengakui kontroversi berhubung dakwaan penipuan yang membabitkan dirinya, telah meninggalkan persepsi buruk terhadap masyarakat, sekali gus meninggalkan kesan ‘calar’ terhadap namanya.

Tambah Boy Iman atau nama lengkapnya Noruliman A. Rahman, 43, ketika ditemui Kosmo! Online berkata, dia juga tidak boleh lari daripada perasaan malu dan segan untuk berdepan dengan masyarakat serta rakan artis yang lain, namun dirinya perlu kuat untuk berdepan dengan situasi tersebut.

“Kalau nak kata malu dan segan, sudah tentu ada sebab saya pun manusia biasa. Tapi saya lebih memikirkan apa yang saya percaya. Maksudnya, kalau saya percaya saya tidak bersalah, saya buat bodoh sajalah.

“Tapi kalau terbukti memang saya bersalah, rasa malu dan segan itu lagi banyak. Nak berjumpa dengan awak (wartawan) pun saya tidak mahu kerana malu,” ujarnya kepada Kosmo! Online.

Bercerita tentang penerimaan rakan-rakan artis selepas apa yang menimpa dirinya, Boy Iman berkata memang ada dalam kalangan mereka yang mula menjauhkan diri, malah lebih menyedihkan sehingga ada putus kawan.

Bagaimanapun, Boy Iman berkata dia faham kerana mereka juga mahu menjaga nama baik sendiri sebagai selebriti.

“Memang ada yang menjauhkan diri dan putus sahabat. Tapi saya faham kedudukan mereka sebagai selebriti. Sudah tentu mereka juga mahu menjaga nama mereka.

“Jadi bagi mengelak daripada nama mereka juga terkait sama, maka ada yang mengambil pendekatan untuk menjauhi saya.

“Ada yang tak nak berjumpa dengan saya sehingga lupa kenangan bersama. Tapi saya okay sahaja. Tidak jadi masalah pun sebab kita hidup kena sentiasa berfikiran positi dan hormat Keputusan mereka,” ujarnya.

Pada masa sama, Boy Iman turut percaya apa yang berlaku sebenarnya telah disusun dengan baik oleh Tuhan dan yakin dengan perancanganNya.

Dalam perkembangan lain, Boy Iman turut bercadang untuk menurunkan berat badannya sebelum membuat keputusan kembali aktif dalam bidang lakonan.

Boy Iman berkata, dia bersyukur kerana tidak berdepan dengan sebarang masalah penyakit, cuma mengakui mengalami masalah berat badan (obesiti) kerana tabiatnya yang kuat makan.

“Menjengah usia 40-an, alhamdulillah kesihatan saya masih baik. Cuma saya dikategorikan sebagai obesiti. Sebab saya memang kuat makan kalau ada masalah.

“Sekarang ini saya dalam proses untuk kawal berat badan dan cuba untuk kelihatan kurus sedikit. Mana tahu mungkin saya akan buat ‘comeback’ (kemunculan semula) dalam industri suatu hari nanti,” jelasnya.

Bagaimanapun, buat masa sekarang, pelakon yang pernah popular menerusi telemovie Blok 404 itu masih belum terfikir untuk kembali aktif dalam bidang lakonan, selepas namanya ‘busuk’ gara-gara terpalit dengan kontroversi membabitkan kes penipuan.

Terdahulu, Boy Iman terpalit kontroversi dan telah didakwa di mahkamah pada 25 April lalu atas pertuduhan menipu seorang wanita berhubung program festival raya di Pusat Dagangan Dunia (WTC).

Bagaimanapun, Boy Iman yang didakwa bersama tiga individu lain menafikan dirinya terlibat dan memberitahu dia turut dianiaya.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Ketika ditemui media di luar mahkamah, Boy Iman berkata pihaknya akan ‘melawan’ untuk membuktikan dirinya tidak bersalah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI