Jarang dilihat menghiasi skrin televisyen sebagai pelakon, namun wanita itu aktif membenihkan aura seninya menerusi bidang pengacaraan rancangan Nona setiap hujung minggu tepat pukul 2 petang.
Tidak lokek senyuman dengan perwatakan lemah lembut, Amyra Rosli mempunyai aura tersendiri sepanjang mengemudikan program yang mengangkat isu wanita dan masyarakat tersebut.
Dua tahun bersama keluarga Nona, pemilik nama lengkap Nur Amira Izzati Rosli itu menyifatkan peluang mengendalikan program tersebut sebagai rezeki bermakna buat dirinya.

Amyra yang sebelum ini hanya memberikan fokus kepada lakonan berjaya membuktikan dunia pengacaraan juga sesuai buat dirinya. Itu langkah yang diambilnya demi mencari keseimbangan antara keluarga dan kerjaya.
“Dua tahun lebih saya bersama Nona. Banyak yang saya belajar daripada program ini dan boleh diumpamakan sebagai sekolah buat saya dalam dunia ‘hosting’
“Sambil bekerja saya dapat mengutip banyak ilmu sepanjang perjalanan. Rugi kalau saya lepaskan peluang.
“Mula-mula saya takut nak buat program besar tetapi saya terima. Jika tidak, saya tidak tahu bila boleh keluar dari zon selesa saya,” katanya membuka bicara.
Tingkat keyakinan diri
Dunia pengacaraan sememangnya perkara baharu dalam hidup isteri kepada aktor Amar Baharin itu. Dia bermula daripada bawah sebagai hos dan itu pengalaman sangat mematangkan buat dirinya.
Namun, semangatnya yang tidak kenal erti berputus asa membawa tuah apabila berjaya meraih trofi Hos TV Penyampai Berita dan Hal Ehwal Semasa Paling Dipercayai pada Anugerah Malaysia Reader’s Digest dua tahun berturut-turut.
“Dari segi kamera saya tiada masalah sebab sudah mula dengan lakonan, cuma saya ambil masa dalam enam bulan ke satu tahun untuk yakinkan diri menyampaikan fakta.
“Saya ini pula jenis senang rasa rendah diri dan ‘insecure’. Apabila berada dalam Nona saya bekerja sambil berlatih untuk biasakan diri.
“Alhamdulillah, penat lelah saya dibayar dengan memenangi anugerah Pengacara Paling Dipercayai dua tahun berturut-turut,” ujar Amyra teruja.

Begitupun, ibu kepada dua cahaya mata itu mengakui program Nona mengajar banyak perkara dalam kehidupan.
“Sejak menyertai Nona, keyakinan diri saya meningkat. Saya seronok dapat bercampur dengan ramai orang.
“Beruntungnya lagi, saya dapat pergi merata tempat dan mengenali banyak benda.
“Dalam masa sama, saya kena kuatkan diri untuk menghafal setiap skrip bagi segmen. Jadi, Nona mengajar saya menjadi lebih berdisiplin,” tutur selebriti berusia 32 tahun itu.
Tanggungjawab vs karier
Meneruskan perbualan, anak jati Selangor itu berkongsi, dia tidak terlepas berdepan cacian dan kecaman sepanjang bergelar pengacara.
Namun, segala kecaman tidak akan diambil serius selain menjadikannya lebih semangat meneruskan perjuangan dalam cabang karier tersebut.
“Kekuatan saya adalah keluarga. Sesiapa yang lontarkan komen negatif saya tidak simpan dalam hati.
“Selama dalam industri pun itu saya biasakan. Saya ambil yang negatif dan cuba buktikan kepada mereka saya buat lebih baik.
“Dulu orang pertikai saya kenapa jadi artislah, dunia seni ini kotorlah tetapi hari ini saya buktikan wanita bertudung juga masih diterima,” ujarnya.
Sejak mengaktifkan diri dalam dunia pengacaraan, Amyra turut mengakui bahawa dia dilihat memperlahankan karier lakonannya.

Dedahnya, perkara tersebut dibuat kerana memikirkan tanggungjawab terhadap keluarga kecilnya.
“Saya tengok masa. Saya kena fikir kehidupan selain bekerja sebagai selebriti saya juga seorang ibu dan isteri.
“Jadi, saya akan ambil naskhah mengikut kesesuaian masa. Itu yang kadang-kadang satu ke dua (projek) sahaja setiap tahun.
“Kadang-kadang satu naskhah pun boleh ambil masa separuh tahun untuk siapkan,” jelas anak sulung daripada empat beradik itu.
Bagaimanapun, Amyra tidak tenggelam dari dunia lakonan kerana masih terus bergiat aktif dalam bidang seni walaupun bukan menerusi naskhah drama mahupun filem.
“Hanya saya dan pasukan saya tahu apa saya buat. Saya masih di sini, seni belum terkubur.
“Dalam hidup ini kita tidak boleh fikir dunia sahaja. Perlu ada masa juga fikir tentang akhirat,” ujarnya.
Amyra bersyukur kerana keluarga kecilnya sangat memahami komitmen sebagai pelaku seni.
“Allah bagi anak-anak yang sangat mendengar kata. Alhamdulilah untuk segala rezeki dan saya akan (berada) di sini untuk peminat,” tutupnya. – KOSMO! ONLINE














