JOHOR BAHRU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor akan memastikan bekalan gula di negeri ini tidak terjejas walaupun syarikat MSM Malaysia Holdings Bhd. (MSM) akan mengeksport produk itu ke Singapura, tahun depan.
Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata, kerajaan akan mengutamakan kepentingan rakyat tempatan khususnya dalam soal bekalan keperluan asas termasuk gula.
“Kami yakin perkara itu tidak menganggu bekalan gula di negeri ini, kerajaan kita prihatin dengan keperluan rakyat tempatan jadi sudah tentu kita akan utamakan rakyat. Kerajaan akan pastikan keperluan rakyat diutamakan sebelum perkara lain,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa melancarkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2023 di pasar raya Jaya Grocer di Austin Heights, di sini hari ini. Turut hadir, Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDN Johor, Muhammad Aizudin Mohd. Said.
Sementara itu, Lilis Saslinda turut memberitahu, pihaknya telah merekodkan sebanyak 1,277 kes melibatkan rampasan bernilai RM7.2 juta, dengan kompaun dan denda dikeluarkan berjumlah RM1 juta sejak 1 Januari lalu.
“Majoriti daripada kes direkodkan melibatkan kesalahan tiada tanda harga, tanda harga tidak sama dengan harga dibayar serta ketiadaan bekalan akibat sikap peniaga yang gemar menyorokkan barangan jualan.
“Daripada jumlah 1,277 kes itu, kira-kira 20 peratus adalah tindakan hasil aduan awam manakala selebihnya merupakan hasil daripada pemantauan dan penguatkuasaan dijalankan pegawai dan anggota KPDN Johor,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE