NAMA Wu Kang-ren tidak asing bagi peminat filem Hong Kong apabila sejak 16 tahun lalu lakonan aktor tinggi lampai itu dapat disaksikan dalam beberapa naskhah pecah panggung.
Melihat kredibiliti aktor berusia 41 tahun itu, tidak hairan penerbit dan pengarah filem tempatan berjudul Abang Adik turut ‘menempahnya’ sebagai penggalas watak utama kisah yang mengambil latar di kawasan Pudu, Kuala Lumpur.
Mengakui teruja diberi kepercayaan membawakan watak lelaki pekak, tawaran yang diajukan kepada Kang-ren terus disambar tanpa perlu berfikir panjang.
“Sebelum ini saya berpeluang menjiwai pelbagai watak berat, tetapi sebagai lelaki kurang pendengaran tentu saja peranan sebagai Abang sangat luar biasa.
“Tanpa dialog saya perlu bermain dengan emosi bagi menghidupkan lagi perwatakan serta mainan dalaman seorang individu berhadapan kehidupan sukar tanpa kad pengenalan.
“Produksi ini pula merupakan syarikat Malaysia yang juga antara tarikan kerana saya pernah menjalani penggambaran dua filem lain sebelum Covid-19 menyerang dunia,” katanya yang diterbangkan ke Kuala Lumpur baru-baru ini bagi tayangan perdana filem tersebut.
Bintang yang meraih trofi pertama pada 2012 sebagai Aktor Terbaik di Asian Televisyen Award itu menghadiri tayangan gala filem arahan Lay Jin Ong bersama barisan pelakon lain termasuk gandingan utamanya, Jack Tan.

Kulit menggelupas
Tampil berbeza daripada filem yang menunjukkan kulitnya kasar serta gelap, akui Kang-ren, dia sengaja menurunkan berat badan serta menghitamkan kulit di bawah terik matahari bagi mendapatkan fizikal pekerja pasar.
“Sebenarnya lebih tiga bulan saya menyediakan diri untuk filem ini terutama mengawal pemakanan sehingga beberapa hari menjelang penggambaran saya langsung tidak menjamah makanan untuk kurus.
“Apabila sampai di sini pula kami dibawa meninjau Pasar Pudu iaitu latar filem ini yang membuka mata saya agar kelihatan seperti mereka yang berhempas-pulas mencari rezeki di tempat itu.
“Bukan hanya belajar memotong ayam, saya gunakan masa terluang dengan berjemur ketika matahari naik sehingga kulit menggelupas dan hitam semula jadi.
“Nampaknya pengorbanan menyakitkan itu berjaya apabila saya dan Jack dimarahi mak cik pencuci kerana menggunakan tandas di situ selepas dia sangka kami adalah pekerja pasar,” katanya sambil tertawa mengenang penggambaran yang diadakan di Pasar Pudu.
Belajar bahasa isyarat
Menurut pencinta kucing itu lagi, belajar bahasa isyarat sebelum memulakan penggambaran juga antara persediaan awalnya, namun apabila tiba di Kuala Lumpur, sekali lagi dia terpaksa menjalani sesi pembelajaran baharu.

Katanya, perbezaan ketara membabitkan bahasa isyarat kedua-dua negara mengakibatkan segala-gala persediaan awal terpaksa dilupakan.
“Hampir tiga bulan juga saya belajar menguasai bahasa isyarat, tetapi rupa-rupanya ada perbezaan yang membuatkan saya kena berlatih semula di bawah pemantauan guru tempatan.
“Bagi saya pengalaman melalui kesakitan akibat kulit melecur untuk mendapatkan tubuh gelap serta belajar semula bahasa isyarat satu pengorbanan yang berbaloi,” ujarnya.
Menemui penonton di 82 pawagam seluruh negara pada 14 Disember lalu, filem itu berkisar kehidupan dua lelaki tanpa pertalian darah, namun menganggap diri mereka adik-beradik dan pada masa sama berdepan kesukaran akibat tiada kad pengenalan.
Tuah Abang Adik
Berikutan impak wataknya, Kang-ren turut diangkat sebagainya Pelakon Lelaki Terbaik pada Anugerah Golden Horse Ke-60, baru-baru ini.
Malah, filem terbabit turut menjadi jaguh di luar negara terutama di festival antarabangsa termasuk mencipta sejarah sebagai filem Asia Tenggara pertama memenangi kategori utama Far East Film Festival (FEFF) ke-25.
Anugerah lain adalah Golden Memory Audience Awards, The Black Dragon Critics Prize dan White Mulbery Awards yang berlangsung di Udine, Itali.
Bukan hanya diiktiraf di FEFF, Abang Adik turut membawa pulang trofi New York Asian Film Festival 2023 (edisi ke-22) dan First Official Selection 2023 di China.

Ditanya mengenai pencapaiannya, lelaki peramah itu mengakui kejayaannya yang turut merangkul tiga lagi pengiktirafan atas tiket watak Abang di majlis anugerah lain mengakui semua itu diraih hasil usaha seluruh pasukan.
“Saya yang patut berterima kasih kepada produksi Abang Adik kerana memilih saya dan Jack sebagai teraju utama filem ini sekaligus mampu memberikan hasil kerja terbaik.
“Sejujurnya plot serta perwatakan setiap karakter cukup menyentuh hati kerana ini adalah sebuah kisah masyarakat yang benar-benar terjadi di sekeliling kita.
“Dalam satu babak saya sebenarnya menitiskan air mata tanpa dipaksa disebabkan emosi mendalam sebaik memuturkan ayat tersebut,” luahnya.
Abang Adik turut sejarah tersendiri dengan lebih 10 pengiktirafan selain berjaya memungut RM6.5 juta dalam tempoh 10 hari tayangan di Taiwan.















