fbpx

K2

Rasuah berevolusi seiring peredaran zaman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

TAHUN ini merupakan ulang tahun ke-56 Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ia merupakan agensi khusus yang melaksanakan penguatkuasaan undang-undang rasuah serta bertanggungjawab dalam menggerakkan inisiatif pendidikan antirasuah di negara ini.

Ini bermakna selama usia penubuhannya, SPRM telah menjalankan fungsinya untuk mencegah jenayah rasuah daripada terus berleluasa.

Namun, seiring dengan perubahan zaman, teknologi dan kepintaran manusia, jenayah rasuah tidak ketinggalan mengalami revolusi.

Jika dahulu rasuah boleh dikesan dengan mudah, kini ia lebih lut sinar dan ampuh daripada pandangan mata kasar.

Malah, bukan suatu perkara yang pelik jika transaksi rasuah boleh berlaku tanpa melibatkan pergerakan fizikal atau material untuk dibuktikan.

Ia bukan lagi dalam bentuk wang ringgit semata, malah ia boleh menjangkau sehingga barang berharga atau mata wang maya.

Seiring jenayah yang semakin canggih dengan pelaku kian licik, undang-undang berkaitan rasuah di Malaysia sentiasa ditambah baik dan dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

Jika 10 tahun lalu undang-undang rasuah hanya tertakluk kepada individu sahaja, kini telah wujud peruntukan khas untuk organisasi komersial bagi memastikan kebertanggungjawaban korporat melaksanakan perniagaan dalam persekitaran berintegriti.

Sekiranya perundangan sudah diperkukuh dan mekanisme kawalan dalaman ditetapkan, langkah seterusnya adalah mendidik setiap individu untuk memandang jijik kepada rasuah.

Seharusnya wujud kesepaduan dalam setiap individu untuk bersetuju bahawa rasuah itu adalah jenayah.

Ia bukan sesuatu yang perlu dipandang dengan rasa belas kasihan atau simpati.

SPRM telah secara aktif mengambil pendekatan mendidik setiap peringkat masyarakat untuk membenci rasuah.

Program Wira Anti-Rasuah (WAR) disasarkan khusus bagi audiens di peringkat sekolah (rendah dan 2 menengah), manakala Angkatan Mahasiswa Anti-Rasuah (AMAR) pula telah diadaptasi di peringkat institusi pengajian tinggi.

Bukan itu sahaja, bermula pada tahun ini, Kursus Integriti dan Antirasuah (KIAR) telah dilaksanakan sebagai kursus wajib dalam Mata pelajaran Pengajian Umum di semua Institusi Pengajian Tinggi di negara ini.

Jadi, boleh dikatakan usaha mendidik dan memberi pendedahan awal nilai positif dalam usaha menghindari rasuah telah dilaksanakan di peringkat awal pendidikan.

Bagaimana dengan mereka yang sudah keluar daripada sistem pendidikan?

Untuk kelompok masyarakat lain, sentiasa wujud inisiatif-inisiatif memberi pendidikan pencegahan rasuah berterusan oleh SPRM.

Program libat urus dengan masyarakat diadakan secara khusus mengikut kelompok audiens.

JENAYAH rasuah sudah melalui revolusi seiring dengan perkembangan semasa. – Gambar hiasan

Contohnya, penganjuran program bersemuka bersama kelompok belia diadakan dari semasa ke semasa menerusi kumpulan atau persatuan belia.

Tidak ketinggalan, program bersemuka yang dianjurkan mengikut kaum (Cina dan India) sentiasa dialu-alukan.

Begitu juga kempen kesedaran yang tidak henti-henti ditayangkan di hadapan mata rakyat.

Baik mesej ingatan di lebuh raya sehingga peringatan mesra di ruang maya atau ingatan ringkas di halwa telinga, semua telah diusahakan.

Walaupun sudah lebih lima dekad usaha mendidik masyarakat dilaksanakan secara menyeluruh, namun cabaran terhebat adalah mendapatkan sokongan berterusan semua pihak dalam memerangi rasuah.

Bagaimana untuk menzahirkan komitmen memerangi rasuah? Ikrar Bebas Rasuah (IBR) adalah antara penzahiran komitmen yang paling mudah untuk dilaksanakan baik oleh sektor awam, swasta mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Lafaz ikrar dan janji secara sukarela oleh seluruh organisasi yang akan diketuai oleh kepimpinannya.

Ia bertujuan menyematkan kebertanggungjawaban dan komitmen setiap warga organisasi untuk melaksanakan tugas secara berintegriti.

Untuk makluman, sehingga 31 Oktober tahun ini, sebanyak 2,049 organisasi (awam, swasta dan NGO) telah menandatangani IBR sebagai satu penzahiran komitmen antirasuah.

Bagi mempelbagaikan dan menggalakkan penzahiran komitmen antirasuah daripada entiti korporat, insentif potongan cukai bagi pelaksanaan program integriti dan antirasuah melibatkan komuniti telah dilaksanakan berkuat kuasa 5 April 2021.

Ia merupakan suatu peluang yang baik untuk syarikat-syarikat yang menjalankan perniagaan di Malaysia (termasuk koperasi) mengambil peluang melaksanakan aktiviti antirasuah bersama komuniti bagi menzahirkan komitmen organisasi anda.

Tarikh 9 Disember lalu merupakan Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) yang telah dipersetujui oleh 190 negara menyertai United Nations Convention Against Corruption (UNCAC).

Ia termasuk Malaysia dengan mengangkat tema, Uniting The World Against Corruption (Menyatukan Dunia Menentang Rasuah).

Tema ini menekankan kepentingan kesatuan dan kesepaduan setiap individu dalam memerangi rasuah yang boleh memberi impak kepada keamanan, keselamatan dan pembangunan sesebuah negara.

Penting untuk setiap pihak bersatu padu dalam menentang rasuah memandangkan ia salah satu Matlamat Pembangunan Mampan 2030 (SDG2030).

Sokong usaha SPRM memerangi rasuah dengan menyatakan pandangan positif, mesej atau sokongan di laman sosial dengan meletakkan tanda pagar #hara2023 #iacd2023

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI