fbpx
UYAINA ARSHAD

Uyaina Arshad bukan ‘terPalestin’, sekadar jalan tanggungjawab

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

“LANTANG tetapi bertempat, saya bercakap demi sebar kebenaran.”

Berkali-kali, itulah frasa terbit daripada bibir pemilik nama Uyaina Arshad kepada Pose dalam satu temu bual eksklusif di Studio Media Mulia baru-baru ini.

Anggun dalam persalinan pereka terkenal tanah air, Fizowoo, anak kelahiran Kuala Kangsar, Perak itu kini merupakan antara selebriti tanah air yang tanpa lelah melaungkan solidariti terhadap rakyat Palestin.

Kelantangan yang dipamerkan dalam media sosial bukan sahaja tentang kekejaman rejim Zionis tetapi juga berkaitan isu lain seperti kepentingan bahasa Melayu dan berkaitan kehidupan harian.

Rentetan daripada sikapnya yang tidak pernah jemu bersuara, mulalah ada mulut-mukut segelintir pihak yang melabelnya sebagai ‘terpaling’ handal bersyarah dalam segala hal.

‘Terpaling’

‘Terpaling’ berbunyi jengkel, namun dia tenang menerima pandangan skeptikal yang menerjang ke mukanya.

Uyaina atau nama penuhnya Saidatul Naseha Uyaina Arshad menegaskan, dia bersuara untuk isu tertentu sahaja.

“Saya bukan artis ‘terpaling’ yang suka memberi komen dan bersuara untuk semua isu pun.

“Kalau isu tersebut bukan kepakaran atau bidang yang saya tidak mahir, lebih baik diam dan biar individu selayaknya memberi ulasan,” katanya.

BUKAN melupakan dunia lakonan, juara program Puteri Muslimah Asia 2018 itu mengakui lebih selektif dalam pemilihan skrip agar masa untuk keluarga yang dikorbankan itu berbaloi.

Baginya, isu Palestin adalah perkara yang ‘mendunia’ ketika ini dan perlu diperjuangkan oleh setiap warga beragama Islam.

Meskipun dilabel sebagai ‘terpaling’, dia tetap menyeru orang ramai agar terus ‘menyerang’ dan berperang dengan rejim Zionis menggunakan platform media sosial masing-masing.

“Palestin adalah isu dunia yang memang saya perlu bersuara untuk sebarkan kesedaran menerusi platform yang ada.

“Biarlah orang nak cakap saya suka ulas atau tidak. Paling penting mesej yang dikongsi dapat dilihat pihak sepatutnya.

“Jangan pernah berhenti berperang dalam media sosial sebab itu sahaja usaha kecil yang kita semua mampu lakukan untuk bumi Palestin selain doa,” tutur wanita berusia 31 itu.

Tidak terhenti di situ, wanita yang hadir dengan sentuhan jurusolek terkenal, Gebriel Padan itu bertegas, label ‘terpaling’ tidak seharusnya dilemparkan kepadanya secara sesuka hati.

Dia bahkan lega, suaminya yang juga penyanyi, Raja Syahiran juga tidak menghalang untuk dia terus bersuara, namun ada limitasi.

“‘Terpaling’ bagi saya ialah individu yang suka menempel dalam semua isu. Semua isu semasa hendak diulas sehingga boleh membuatkan ramai meluat.

“Sebagai contoh, saya tak akan komen isu rumah tangga orang atau hal membabitkan penyondol sebab suami pun tidak benarkan.

“Dia dan saya risau benda yang diperkatakan itu berbalik kepada diri sendiri, tambahan pula usia perkahwinan kami pun baru berusia dua tahun. Jadi, kenapa nak sibuk ulas isu rumah tangga orang pula,” jelasnya.

Ibu kepada seorang anak lelaki itu bagaimanapun terkejut kerana tidak menerima sebarang respons negatif atau kecaman daripada netizen berhubung setiap perkongsiannya, sama ada isu Palestin atau budaya.

“Sejujurnya tiada sesiapa pun yang kecam atau marahkan saya sebab ulas isu-isu tertentu sebaliknya mereka sangat menyokong usaha kecil ini.

“Mereka pula meminta saya menghasilkan lebih banyak video yang padat dengan maklumat dan teguran kepada mana-mana pihak kerana perkata itu sangat membantu masyarakat,” katanya yang turut kecewa kerana beberapa video dimuat naik berkaitan isu Palestin dipadam pengendali seperti TikTok.

Indonesia

Bercerita mengenai kerjaya dalam bidang pengacaraan yang hampir memasuki sedekad usia, Uyaina bersyukur masih diberikan kepercayaan melebarkan sayap di Indonesia.

Bukan mahu mendabik dada, Uyaina mengakui, dia satu-satunya pengacara tanah air yang diberikan peluang untuk mengendalikan program popular di seberang.

“Bukanlah nak meninggi diri atau berlagak diva tetapi itulah hakikatnya.

“Bukan senang nak tembusi pasaran di sana sebab penduduk mereka juga sudah terlalu ramai.

“Jadi apabila ramai meluah sukar dapat peluang ke sana, saya faham situasi tersebut.

UYAINA menasihatkan mana-mana individu yang mahu bergelar pengacara agar mencari ilmu dalam setiap aspek supaya kelihatan lebih bersedia sepanjang beraksi di hadapan kamera.

“Cuma kalau ada peluang di sana, jangan sia-siakan. Pegang dan jangan sesekali hampakan harapan pihak yang berikan tawaran tersebut,” ujar pengacara D’Academy Asia itu.

Bukan mahu menggalakkan anak seni tempatan melupakan kerjaya di tanah tumpah darah sendiri, dia hanya mahu melihat lebih ramai rakyat negara ini menempa kejayaan di luar negara.

Uyaina bagaimanapun mengakui tidak terlepas daripada menerima kecaman ramai yang menuduhnya lupa asal-usul apabila dilihat kerap berbahasa Indonesia ketika mengendalikan program di sana.

“Bukannya ketika berbahasa Indonesia, saya lupa bahasa kebangsaan sendiri. Itu bermakna kita hormat mereka, ada sifat ingin belajar.

“Inilah yang dikatakan asimilasi, belajar bahasa negara lain apabila masuk tempat orang. Perlu bijak.

“Ada juga yang pertikai, mengapa kerap ke sana, tuduh saya lupa tanah air sendiri tetapi tidak kisah pun sebab bukan mereka yang bayar bil saya!

“Satu pesanan saya untuk artis Malaysia yang dapat peluang ke sana, berasimilasilah dengan budaya orang, jaga disiplin dan belajarlah bahasa mereka sebab itu semua pengalaman yang sangat bernilai,” kongsinya sebelum mengakhiri perbualan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN