fbpx

Keunikan pertarungan baling oren

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Buah-buah oren dilempar sekuat hati oleh orang ramai dan air daripada buah oren menjadi simbolik kepada darah.

TIDAK seperti kebiasaan hari-hari sebelumnya, sebuah bandar di utara Itali iaitu Ivrea pada hari itu berubah wajah. Bangunan-bangunan bersejarah di situ ditutup dengan kepingan plastik dan jaring.

Bukan itu saja, malah kedai-kedai di kawasan sekitar turut dilindungi dengan papan-papan lapis, manakala terpal pula menjadi penghadang.

Tujuan semua itu dilakukan kerana bandar Ivrea akan dipenuhi dengan orang ramai yang datang untuk membaling 900 tan oren kepada satu sama lain dalam ‘pertarungan oren’ sempena sambutan Festival Sejarah Ivrea.

Mereka akan membaling oren itu ke sasaran dengan sekuat hati sambil menjerit kata-kata kesat.

Maria Pia Pagani dalam perkongsiannya di portal The Theatre Time berkata, setiap tahun bandar Ivrea akan menganjurkan perayaan tradisional yang berkaitan dengan sejarah itu.

Menurutnya, Festival Sejarah Ivrea diraikan bagi memperingati peristiwa kebangkitan pemberontakan terhadap kezaliman dan kejayaan terhadap kebebasan yang berlaku semasa zaman Pertengahan dan Napoleon serta era Risorgimento Itali.

“Perarakan besar dilakukan di jalan-jalan utama Ivrea dengan mempersembahkan pelbagai watak berkaitan.

“Ia sebagai sokongan simbolik kepada pemberontakan menentang penindasan,” katanya.

Pun begitu, kemuncak festival berkenaan ialah ‘pertarungan oren’ yang lazimnya menarik berjuta-juta pelawat ke situ.

Buah oren digunakan kerana ia bukan tanaman tempatan sebaliknya diimport dari Sicily atau Calabria.

Pada zaman dahulu, buah-buahan dan sayur-sayuran lain seperti kacang dan epal digunakan.

Namun kemudian, oren dipilih kerana ia bukan tanaman tempatan dan diimport dari Sicily atau Calabria.

Setiap tahun banyak tan oren yang sudah tidak elok dimakan digunakan untuk festival itu.

Maria menjelaskan, terdapat dua kategori pejuang dalam festival itu yang mana mereka yang berada di atas kereta kuda mewakili tentera zalim.

“Bagi pejalan kaki pula mereka mewakili orang miskin yang memberontak.

“Matlamat utama peperangan oren itu adalah melempar buah terus ke muka ‘tentera zalim’ di atas kereta kuda.

“Air daripada buah oren itu adalah lambang darah rakyat yang ditumpaskan semasa pemberontakan,” jelasnya.

Dalam perarakan tersebut, terdapat 50 pasukan kereta kuda yang mewakili kawasan bandar yang berbeza, manakala pejalan kaki pula adalah sekitar 4,000 orang.

Setiap kereta kuda memuatkan hampir 10 orang kesateria yang memakai perisai badan dan topeng khas yang serupa dengan peralatan tentera Zaman Pertengahan.

Pejalan kaki tidak mempunyai sebarang bentuk perlindungan dan mereka mewakili orang-orang yang mencari kebebasan.

Dalam semua edisi festival itu, juri khas mengisytiharkan pasukan pemenang ‘pertarungan oren’ berdasarkan gaya pejuang dan kesetiaan mereka semasa pertandingan.

Apa yang pasti, festival tersebut bukan sekadar satu acara untuk keseronokan tetapi ia juga menjadi satu imbasan memori kepada peristiwa sejarah penting penduduk di situ.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI