MINGGU ini penulis tertarik untuk mengupas isu bujang senja yang dilaporkan meningkat saban tahun.
Ini kerana, berdasarkan laporan Bancian Penduduk 2010, Jabatan Perangkaan menyatakan lebih 5.5 juta lelaki dan wanita berusia lebih 30 tahun mengambil keputusan untuk tidak berkahwin ataupun belum berkahwin.
Faktor kewangan menjadi antara punca utama iaitu sebanyak 56 peratus, tiada calon sesuai 18.4 peratus dan kerjaya sembilan peratus.
Bagi penulis, sebenarnya banyak lagi faktor yang menyebabkan berlakunya fenomena seperti ini, salah satunya adalah kepedulian ibu bapa berkaitan soal jodoh anak mereka.
Ibu bapa sekarang dilihat jauh berbeza berbanding puluhan tahun dahulu apabila mereka sendiri akan mencari jodoh kepada anak mereka.
Mereka mula risau apabila usia anak mereka menginjak usia 20-an tetapi masih belum ada pasangan atau belum berkahwin.
Berbanding ibu bapa sekarang, mereka tidak risau apabila anak mereka masih tidak berkahwin walaupun usia telah lebih 30-an dan bagi mereka biarlah anak itu sendiri mencari jodoh.
Malah, ada ibu bapa selesa ‘menumpang’ anak-anak sehingga ada yang takut membenarkan anak mereka kahwin awal bimbang akan ‘ditinggalkan’ selepas itu.
Pemikiran ibu bapa seperti ini perlu ‘dibetulkan’ segera, ini kerana kata pakar kekeluargaan, Prof. Dr. Fatimah Daud Kadar Pertumbuhan Tahunan (CAGR) penduduk dijangka akan menurun sehingga ke paras 1.5 dalam tempoh lima tahun akan datang.
Menurut Fatimah, ketika ini CAGR negara berada paras 1.7 berbanding 10 tahun lalu iaitu 2.0 dan akan terus menurun sekiranya ramai rakyat negara ini mengambil pendekatan untuk tidak berkahwin atau hidup membujang sehingga tua.
“Saya pernah buat kajian dahulu (10 tahun lepas) dan membentangkannya semasa menghadiri satu sidang bersama negara-negara Komanwel dan mendapati ketika itu kadar pertumbuhan di Malaysia pada paras 2.0.
“Namun, kadar itu terus menurun sehingga ke paras 1.7 ketika ini dan tidak mustahil lima tahun lagi ia berada pada paras 1.5,” ujarya.
Beliau yang juga Presiden Pertubuhan Pembangunan Penduduk Malaysia (PPPM) berkata, sekiranya perkara itu tidak diatasi segera, ia akan memberi impak negatif kepada negara pada masa akan datang.
“Antaranya negara kekurangan tenaga kerja apabila rakyat tidak ramai dan terpaksa mengimport buruh asing bekerja. Ini menyebabkan aliran tunai wang keluar negara semakin tinggi.
“Malah, banyak sektor akan terjejas seperti pertahanan, kesihatan dan pendidikan. Siapa nanti nak jadi askar, polis, jururawat, guru, takkan nak ‘import’ warga asing jadi juga kerja dalam bidang ini,” soalnya.
Sebelum ini, dalam satu sesi di Dewan Rakyat, Ahli Parlimen Kubang Kerian, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mahu kerajaan memberi sokongan moral kepada golongan lelaki untuk berpoligami.
Kata Timbalan Presiden Pas itu, langkah berkenaan bagi menyelesaikan masalah wanita yang lewat berkahwin.
Persoalannya, betul ke poligami ini boleh bantu selesaikan masalah wanita bujang senja? Nasihat penulis kepada lelaki di luar sana, ‘ukurlah dahulu baju di badan sendiri’ sebelum berpoligami.














