PETALING JAYA – Aplikasi TikTok bukan sahaja menjadi pilihan untuk melihat ciptaan kandungan terkini, malah kini menjadi platform peniaga ‘menjual’ produk mereka sekali gus menjana pendapatan hampir ratusan ribu sebulan.
Medium itu bukan sahaja dapat menjimatkan kos perniagaan seperti sewa premis, malah turut memberi peluang peniaga menembusi pasaran luar dan mendapat pelanggan baru di seluruh negara.
Pengasas JTT Store MY, Mohammed Mahmoud Musleh Mesbah Mahmoud Omar, 27, berkata, melalui medium TikTok Shop, dia bersama tiga adiknya berjaya menjana pendapatan hampir enam angka sebulan hanya melalui jualan pakaian.
Mula beralih ke medium itu pada November 2022, Mohammed yang juga bekas atlet Muay Thai tidak menyangka pendapatan yang diraih tiga kali ganda berbanding platform lain.
“Masa mula-mula sertai TikTok, kami rajin berkongsi video untuk tarik minat pelanggan. Daripada mula buka akaun itu, sampai sekarang kami sudah ada lebih 98,000 pengikut dalam tempoh kurang dari setahun.
“Selepas itu, kami mula menjual di TikTok Shop. Sambutan yang diterima amat memberangsangkan lebih-lebih lagi produk kami banyak dibeli oleh pelajar dan golongan muda.
“Setiap hari kami buat siaran langsung selama 10 jam terdiri daripada lima orang hos. Pendapatan utama kami adik-beradik memang berniaga di TikTok dan mampu meraih hampir enam angka sebulan. Daripada keuntungan inilah kami bayar sewa premis, gaji pekerja dan kos-kos yang lain,” katanya.
Berkongsi cerita sama, Ketua Pemasaran dan Jualan PTS Bookcafe, Mohd. Shahrul Ismail berkata, pada zaman ini adalah amat mustahil untuk syarikat sepertinya menjual secara ‘offline’ atau bersemuka kerana buku bukanlah suatu barang keperluan.

“Bagaimanapun selepas kami mula menjual di TikTok Shop, banyak pelanggan baru membeli. Mana yang sebelum ni tak pernah baca buku, mereka mula minat membaca dan ada satu tajuk buku kami sudah terjual lebih 100,000 naskhah dalam tempoh setahun,” katanya.
Menerusi aplikasi TikTok Shop juga, Mohd. Shahrul berkata, sebanyak 90 peratus jualan buku PTS Bookcafe adalah daripada Program Affliate yang terdiri lebih 40,000 ‘ejen maya’ yang meraih komisen dari seluruh Malaysia.
“Kalau TikTok Shop diharamkan, mungkin kami akan mengalami kerugian sehingga 70 peratus. Sewa premis, gaji 28 orang pekerja dan lain-lain kos kebanyakannya bergantungf kepada penjualan di TikTok Shop,” katanya.
Sementara itu, pengasas Emajie Official, Ahmad Suhail Ahmad Fauzi mengakui ‘pertumbuhan’ jualan di TikTok Shop sangat pesat sehingga syarikatnya mampu menjana tujuh angka dalam sebulan.
Ujar pemuda berusia 28 tahun ini, TikTok Shop telah membantu dia mengembangkan perniagaannya daripada jualan dalam talian kepada kedai offline dengan membuka tiga pejabat dan dua butik di sekitar Lembah Klang.
“Di TikTok, lebih rajin buat video, lagi banyak akan dapat. Macam kami, memang 24 jam akan buat siaran langsung TikTok sambil letakkan ‘beg kuning’ untuk orang membeli. Dekat platform lain memang susah nak buat pemasaran berbanding di TikTok sebab itu dalam setahun barulah dapat jana pendapatan tujuh angka.
“Sejak mula di TikTok pada tahun lepas, daripada ‘zero’, sekarang kami dapat tujuh angka dalam sebulan. Akaun TikTok Emajie Official pun sudah mempunyai lebih 173,800 pengikut.
“Kalau ikut analisis data di TikTok, sekurang-kurangnya 200,000 pelanggan yang lihat akaun kami, manakala lebih 20,000 pelanggan yang membeli dalam tempoh sebulan,” ujarnya.
Sementara itu, katanya, jualan secara dalam talian lebih menguntungkan selain menjimatkan tenaga kerja, ruang, tenaga pemasaran selain boleh menguruskan pelanggan-pelanggan dari seluruh dunia dari satu tempat.
“TikTok ini sahaja bukan semata-mata untuk bisnes tetapi boleh mengubah kehidupan sosial seseorang individu itu. Kedai ‘online’ dan ‘offline’ sebenarnya memerlukan sesama sendiri untuk terus ‘hidup’,” ujarnya.















