fbpx

Sains sukan keutamaan BAM di Olimpik Paris 2024

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KENNY GOH

KUALA LUMPUR – Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mula mengatur strategi mereka menjelang Sukan Olimpik Paris 2024 terutama menambah kepakaran sains sukan buat atlet negara agar mereka yang layak ke temasya empat tahun sekali itu dalam keadaan benar-benar bersedia.

Pada mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) bersama Majlis Sukan Negara (MSN) semalam, Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh berkata, perbincangan tersebut terarah kepada persiapan buat atlet badminton negara selain memenuhi keperluaan pasukan dengan lebih baik ke Paris tahun depan.

Katanya, antara perancangan yang bakal dibuat mereka adalah tiba lebih awal di Paris dengan  mengadakan kem latihan sebelum bermulanya cabaran sebenar pada 26 Julai hingga 12 Ogos tahun depan.

“Perbincangan kami lebih kepada persediaan atlet untuk pastikan mereka cukup bersedia di Paris nanti. Antaranya adalah kem latihan di Malaysia dan juga di Paris seminggu sebelum bermulanya kejohanan.

“Selain daripada itu, kami juga mengadakan perbincangan hal teknikal dan sokongan sains sukan untuk pastikan pemain yang layak (ke Paris) nanti bersedia 100 peratus.

“Di pihak pengurusan, apa yang boleh kami buat adalah memberi sokongan kepada pemain dalam konteks latihan dan sains sukan,” katanya ketika ditemui selepas mesyuarat JKK di MSN, Bukit Jalil semalam.

Ditanya adakah skuad badminton negara memerlukan tambahan pakar psikologi untuk menguatkan mental pemain apabila beraksi di tahap tertinggi, Kenny tidak menolak mereka akan mempertimbangkan perkara itu.

“Sudah tentu jika kami rasa memerlukannya, kami akan tambah perkhidmatan itu tetapi buat masa ini, kami rasa Institut Sukan Negara (ISN) sudah banyak membantu daripada aspek sokongan mental kepada pemain,” katanya.

“Selain aspek sains sukan, kami juga perlu tahu perkara membabitkan teknikal iaitu bila akan berlakunya undian kejohanan (Olimpik).

“Bermakna daripada aspek latihan harian dan sokongan, kami perlu pastikan setiap pemain mencapai ranking yang berpatutan untuk mendapat undian lebih baik,” katanya. -KOSMO! Online

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI