BANDA ACEH – Satu rakaman video menunjukkan seorang nelayan di atas sebuah bot mengusir kapal membawa pelarian Rohingya yang mahu berlabuh di pantai Aceh, lapor portal berita Lombok Insider semalam.
Tindakan nelayan itu menarik perhatian netizen Indonesia.
Nelayan tersebut kemudian mendekati kapal dinaiki sejumlah etnik itu dan cuba menghalaunya, lapor portal berita Tribun Trends.
Bagaimanapun, ramai netizen memperosalkan di mana bot-bot Tentera Nasional Indonesia (TNI) ketika kapal membawa para pelarian tersebut memasuki perairan Indonesia.
“Di mana TNI,” tulis seorang netizen di Instagram.
Malah, ada netizen mempersoalkan apa gunanya senjata mahal tentera Indonesia jika ada pelarian Rohingya berjaya memasuki perairan negara itu.
Sementara itu, Ketua Kesatuan Nelayan Tradisional, Badruddin Yunus berkata, nelayan-nelayan telah cuba sedaya upaya mereka bagi menghalang pelarian Rohingya daripada mendarat di Bireuen. – AGENSI