fbpx

Pengiklan, peniaga serunding didenda RM3,900 gagal kemuka SST-02

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wan Zairul Izzuan Ariz (kiri) dan Mohd. Ridzuan ketika hadir untuk prosiding pendakwaan di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini. Foto oleh ROSMIZAN RESDI/ KOSMO!

KOTA BHARU – Dua peniaga didenda RM3,900 di Mahkamah Sesyen di sini hari ini masing-masing atas tiga pertuduhan gagal mengemukakan penyata Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST-02) pada Mac hingga Ogos lalu.

Hakim Mohd. Zul Zakiqudin Zulkifli menjatuhkan hukuman denda itu terhadap Mohd. Ridzuan Jusoh ,34, dan Wan Zairul Izzuan Ariz Wan Zainudin, 30, selepas kedua-dua Orang Kena Saman (OKS) itu mengaku bersalah atas pertuduhan yang didakwa ke atas mereka.

Mengikut pertuduhan, Mohd. Ridzuan yang merupakan pemilik tunggal perniagaan pengiklanan didapati gagal mengemukakan penyata SST-02 dalam masa yang ditetapkan bagi tempoh bercukai antara 1 Mac hingga 31 Ogos lalu.

Dalam pada itu, Wan Zairul Izzuan Ariz dalam prosiding berasingan yang merupakan pemilik tunggal perniagaan serunding juga didapati gagal mengemukakan penyata SST-02 dalam tempoh bercukai yang sama.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa JKDM. Mohd. Haswadi Mohamad Nor.

Terdahulu, Mohd. Ridzuan yang diwakili peguam, Azura Ghazali manakala Wan Zairul Izzuan Ariz yang tidak diwakili peguam mengemukakan rayuan memohon kepada mahkamah supaya hukuman diringankan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan kedua-dua OKS masing-masing didenda RM3,900 iaitu RM1,300 bagi setiap pertuduhan selain penjara tiga bulan bagi setiap pertuduhan sekiranya gagal membayar denda yang ditetapkan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI