fbpx

Keluang Man permulaan ‘Marvel’ Malaysia?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NAS-T terpilih melakonkan watak utama filem Keluang Man selepas beberapa siri uji bakat dilakukan pihak produksi.

SEBAGAI orang dewasa yang membesar dengan komik atau animasi berjudul Keluang Man, sudah tentu desas-desus kononnya jenama kartun tempatan tersebut akan didokumentasikan dalam bentuk filem live-action membuakkan semangat adiwira dalam sanubari ramai.

Masih basah dalam fikiran, penulis berusia sekitar enam tahun ketika Keluang Man bersiaran menerusi TV1. Selain karakter-karakter adiwira dunia seperti Batman atau Superman, Keluang Man memiliki ruang tersendiri dalam diri.

Karakter itu menebalkan panji superhero dan semangat patriotisme.

Buat khalayak yang datang atau kelahiran generasi Y, Keluang Man adalah hero yang kita semua idolakan.

Filem Keluang Man akan memulakan penggambaran sekitar April 2024 dan dijangka menemui penonton pada tahun 2025.

Bukan sahaja sifat heroiknya yang menjadi rujukan tetapi aksi lelucon yang lazim dengan audiens sebilangan kelompok.

Sehinggalah baru-baru ini, khalayak dibentangkan bahawa watak Borhan atau Keluang Man akan dijayakan oleh Nas-T, karakter antagonis Shamsir akan diterjemahkan Remy Ishak, Anwaar Beg Moghal sebagai Inspektor Sahab dan Datuk Rosyam Nor memainkan peranan Ahmad.

Pengumuman lain seperti sama ada akan wujud watak Tiong Man dan siapa yang membawakan watak tersebut masih disimpan kemas pihak penerbit, Astro Shaw termasuk pengarah, Anwari Ashraf yang turut bertindak sebagai penulis skrip.

Masih pra-produksi

“Buat masa ini, kami masih dalam proses pra-produksi. Proses penjadualan, pencarian lokasi, dan memapan cerita sedang berjalan.

“Seiring itu, proses yang paling mendebarkan bagi kami adalah proses mereka bentuk kostum Keluang Man yang masih berjalan.

“Kami sedar tanggungjawab besar yang digalas dalam memenuhi jangkaan peminat animasi ikonik ini.

“Jadi kami sentiasa berwaspada dalam melaksanakan visi kreatif kami,” ujar Anwari yang sebelum ini mencetus fenomena menerusi drama premium popular Projek: High Council.

Ditanya sama ada akan wujud karakter Tiong Man dalam versi live-action garapannya, jawab Anwari: “Saya tiada jawapan untuk perkara itu buat masa sekarang meskipun ramai tahu Tiong Man adalah watak yang sama penting seperti Keluang Man.

“Masih terlalu awal untuk saya kongsikan banyak perkara kepada umum.

ANWARI memberi janji awal bahawa Keluang Man bukan projek jangka pendek, sebaliknya mungkin akan ada sekuel jangka masa panjang.

“Keluang Man tidak akan berakhir dengan hanya sebuah filem. Akan ada sekuel, insya-Allah dan ‘universe’ ini akan bergerak ke hadapan. Akan ada pengumuman dari masa ke masa.”

Sementara itu, Nas-T atau nama sebenarnya, Nas Muammar Zar Nasruddin tidak menyangka watak Keluang Man jatuh ke tangannya selepas menjalani uji bakat dan beberapa siri ujian lain.

“Saya seperti orang lain mencuba nasib untuk watak Keluang Man.

“Saya hantar video audisi berdurasi seminit lebih. Saya hantar video ekspresi wajah dan emosi. Waktu itu saya lapar dan saya hantar video dialog sedang lapar nak makan burger.

“Saya dapat ‘reply’ daripada produksi selepas sekitar seminggu. Memang terkejut dan bersyukur dengan rezeki ini,” katanya kepada HibGlam, baru-baru ini.

Lama berangan – Nas-T

Ditanya sama ada mengikuti animasi Keluang Man, suami kepada Atita Haris itu mengakui sememangnya mengimpikan watak adiwira dalam kerjaya seninya.

“Saya ada baju superhero di rumah. Saya akan pakai untuk menghiburkan anak-anak. Saya pernah terfikirkan seronok andai suatu hari nanti saya dapat jadi adiwira atau superhero dalam filem.

“Tak sangka akhirnya, angan-angan menjadi kenyataan. Anak-anak saya pun berbangga melonjak gembira dengan berita ini,” ungkapnya.

Ditebak tentang ketidakpuasan segelintir peminat mempersoalkan pemilihannya sebagai Keluang Man, Nas-T berlapang dada. Dia akur tidak boleh memuaskan hati semua orang.

“Saya sedar watak Borhan dalam animasi fizikalnya tinggi, saya tidak tinggi sangat. Tapi, dalam filem nanti, soal ketinggian apa semua, itu semua teknikal.

“Macam di Hollywood, Tom Cruise pun tak tinggi mana tapi produksi boleh buat dia nampak tinggi dengan bermain dengan ‘shot’, permainan sudut kamera dan sebagainya.

“Apa yang penting adalah sama ada saya boleh atau tidak membawakan watak Borhan dengan baik. Sejujurnya, saya masih lagi belajar dan ada juga perasaan ragu-ragu tapi apabila dah diberi peluang, saya akan menjalankan sehabis baik,” jelas pelakon berusia 40 tahun itu.

Remy ‘Shamsir’ sedari awal

Dalam pada itu, Hero Malaya yang masih kekar, Remy Ishak pula bersyukur saat dipercayai produksi melakonkan watak antagonis, Shamsir.

“Sudah lama sebenarnya kami berbincang tentang projek ini. Memang dari awal lagi saya sasarkan watak Shamsir. Jadi, pemilihan itu memang daripada awal.

“Saya membesar dengan Keluang Man. Memang zaman saya. Watak jahat memang menjadi sasaran. Sebagai pelakon, saya nak cuba benda baharu. Saya nak sangat orang lihat sisi lain kerja saya selain watak hero,” ujar Remy, 41.

Bapa anak satu itu percaya Keluang Man jatuh ke tangan produksi dan sutradara yang tepat iaitu Anwari.

SEBAGAI pelakon yang sinonim watak hero, Remy Ishak sudah lama menyasarkan impian membawa peranan villain dalam sesebuah karya dan Shamsir dalam Keluang Man bakal menjadi satu perjalanan hebat buat dirinya. – M.FIRDAUS M.JOHARI

“Saya percayakan visi Anwari. Kita dah tahu kerja beliau seperti dalam High Council. Sangat hebat. Saya percaya Keluang Man jatuh ke tangan pengarah yang tepat dan tidak sabar untuk turun ke set penggambaran,” ujar Remy.

Filem Keluang Man akan memulakan penggambaran sekitar April 2024 dan dijangka menemui penonton pada tahun 2025.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI