Istiadat Ulangan Penghulu Luak Tanah Mengandung Mengadap Menjunjung Duli yang sudah dimulakan sejak 125 tahun lalu bukan hanya menggambarkan kekayaan budaya masyarakat adat Perpatih di negeri ini, bahkan menjadi satu tarikan buat masyarakat luar mengenali keunikan Negeri Sembilan.
Istiadat diraja beradat itu pertama kali diadakan pada 29 April 1898 iaitu semasa pemerintahan Almarhum Tuanku Muhammad dan kini diadakan tiga tahun sekali.
Menurut Penyelia Adat Istiadat Istana Besar Seri Menanti, Tunku Datuk Mahmood Fawzy Tunku Muhiyiddin, setiap kali dilaksanakan terdapat tiga istiadat penting dimulakan dengan Istiadat Menurunkan dan Memasang Alat Kebesaran pada hari pertama, Istiadat Bersiram pada hari kedua diikuti hari ketiga, Istiadat Menghadap iaitu upacara kemuncak bagi istiadat berkenaan.
Biarpun ‘bersiram’ lazim difahami dalam bahasa istana sebagai mandi, Istiadat Bersiram dalam adat Perpatih yang dipraktikkan ini ialah istiadat mencelupkan tangan dalam air dan kemudian disapu pada muka dan kening.
“Istiadat Bersiram dimulakan dengan Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir dan Duli Yang Maha Mulia Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud berangkat naik Takhta Rencana dari Istana Besar Seri Menanti menuju ke Panca Persada diiringi dan diarak oleh anak raja serta kerabat.
“Istiadat Bersiram ini istimewa kerana hanya tiga kali berlaku iaitu semasa Tuanku ditabal Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, masa Istiadat Penghulu Mengadap (kedua) dan ketiga, anak Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan berkahwin,” katanya ketika ditemui selepas Istiadat Bersiram sempena Istiadat Ulangan Penghulu Luak Tanah Mengandung Mengadap Menjunjung Duli baru-baru ini.
Istiadat Ulangan Penghulu Luak Tanah Mengandung Mengadap Menjunjung Duli merupakan satu majlis melafazkan ikrar dan sembah taat setia oleh Datuk-Datuk Penghulu Luak Tanah Mengandung yang terdiri daripada Luak Ulu Muar, Luak Jempol, Luak Gunung Pasir, Luak Inas dan Luak Terachi terhadap Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Terdahulu, Tuanku Muhriz dan Tuanku Aishah berangkat ke Panca Persada menaiki Takhta Rencana.

Di Panca Persada, Istiadat Bersiram disempurnakan dengan dihadiri oleh Putera Yang Empat, Kerabat-Kerabat Kanan, Kerabat-Kerabat Diraja Yang Lain, Anak-Anak Raja
Bergelar, Kenamaan Kerajaan serta seluruh rakyat jelata.
Perarakan Takhta Rencana dari Istana Besar Seri Menanti didahului kumpulan rebana sambil berselawat diikuti Pegawai 99 yang membawa sebahagian alat kebesaran diraja dan disusuli Datuk Raja Penghulu yang membawa cepu bedak limau bersama Datuk Menti Laksamana.
Di belakang ialah Datuk Penghulu-Penghulu Luak diikuti oleh Orang Empat Istana. Di belakangnya pula ialah Tiang Balai dan Lembaga Luak menurut urutan kekananan iaitu Tiang Balai dan Lembaga Luak Ulu Muar, Lembaga Luak Jempol, Lembaga Luak Terachi, Lembaga Luak Gunong Pasir dan Lembaga Luak Ineh.
Seramai 40 orang Pegawai 99 di hadapan, 40 orang di belakang dengan penuh pakaian adat istiadat.
Di sebelah kiri dan kanan Takhta Rencana pula ialah Orang Enam Istana, Bentara dan Orang Besar Lingkungan. Di belakang Takhta Rencana pula ialah barisan Putera Yang
Empat, Kerabat-Kerabat Kanan, Anak Raja Bergelar diikuti Kerabat-Kerabat Diraja yang lain dan Pegawai Pegawai Istana.
Di atas Takhta Rencana, Yang Dipertuan Besar dan Tunku Ampuan Besar bersemayam dengan diapit kiri dan kanan oleh Datuk Kanda Maharaja yang memegang Pedang Sebarau Bujang dan Datuk Mangku memegang Keris Senawi, Datuk Penglima Gajah memegang Payung Kuning dan Datuk Bentara Perempuan membawa payung kuning serta kipas keemasan.
Perarakan dimulakan dan diringi dengan tembakan meriam berjumlah lapan das yang dilepaskan dari mula perarakan sehingga tiba di Panca Persada.
Tuanku berdua berangkat naik ke Panca Persada diiringi muzik caklempung lagu Raja Bersiram.
Sambil disaksikan oleh tetamu-tetamu kehormat dan pegawai-pegawai kanan kerajaan serta orang ramai, istiadat bersiram di Panca Persada dimulakan dengan Orang
Empat Istana mengadap Tuanku Muhriz bagi memohon limpah perkenan istiadat seterusnya bacaan doa yang dipimpin oleh Mufti Negeri Sembilan, Prof. Madya Dr. Faudzinaim Badaruddin.
Istiadat bersiram dimulakan dengan Datuk Seri Amar Diraja, diikuti oleh Datuk Raja Diwangsa, Datuk Penghulu Dagang dan Datuk Akhir Zaman akan mengelilingi Panca Persada sebanyak tujuh kali pusingan.
Setiap pusingan, setiap Orang Empat Istana itu akan menjunjung duli menandakan cukup satu pusingan. Pusingan tujuh kali merupakan simbolik bagi memohon Allah melindungi Tuanku daripada musibah bencana tujuh petala alam.
Kemudian, cepu bedak limau (dalamnya mengandungi air) dipersembahkan kepada Tuanku berdua oleh empat pembesar tadi secara bergilir-gilir dan baginda berdua mencelup tangan setiap kali dipersembahkan.
Upacara mencelup kedua-dua tangan merupakan simbolik bagi membersihkan diri dan jasmani, suci rohani dan luhur semangat untuk menerima kedatangan Penghulu
Luak Tanah Mengandung Mengadap.
Upacara diakhiri persembahan kebudayaan tradisional iaitu silat dan tarian piring.
Tuanku berdua kemudiannya berlepas dari Panca Persada dengan menaiki Takhta Rencana yang sama apabila upacara selesai disahut oleh lapan das tembakan meriam.
Istiadat baru-baru ini turut dihadiri anakanda baginda iaitu Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin dan Tunku Zain Al’Abidin.
Sementara itu, penduduk setempat yang ditemui, Afida Mohd Zin, 62, berkata, ini merupakan kali pertama dia berpeluang bersama anaknya melihat sendiri Istiadat
Bersiram dan berasa sangat teruja.
Malah menurutnya, anak-anaknya itu hanya lahir di Negeri Sembilan, namun tidak mengetahui dengan lebih lanjut mengenai upacara adat yang diamalkan di negeri ini.
“Bila dah bersara dan duduk di kampung, saya ambil peluang ini untuk perkenal kepada anak saya upacara adat. Dia dapat lihat sendiri alat kebesaran diraja yang digunakan,” katanya.
Bagi Nur Aryuni Allysha Hasnan, 22, yang merupakan pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Jasin, dia sememangnya tidak sabar menunggu upacara itu kerana tidak terdapat di negeri-negeri lain.
“Upacara seperti ini sangat menarik untuk dipelajari. Malah, ayah saya yang merupakan buapak juga amat menggalakkan anak-anaknya untuk hadir dalam majlis adat bagi memastikan adat seperti ini tak lapuk ditelan zaman,” katanya.
Sementara itu, Hasnah Alias, 62, dari Kampung Mertang pula berkata, dia sudah pun hadir ke istiadat berkenaan sebanyak tiga kali sejak bersara serta pulang ke kampung.
“Meriah sangat, istiadat ini hanya ada di Negeri Sembilan dan menariknya bagi Istiadat Bersiram, rakyat jelata berpeluang hadir dan melihat sendiri kemeriahan perarakan dari istana ke Panca Persada.














