fbpx

Konflik Palestin-Israel: Zionis bogelkan 100 lelaki, diarak di Gaza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KIRA-kira 100 lelaki Palestin ditangkap tentera Israel di utara Gaza baru-baru ini. - Foto X

BANDAR GAZA – Media Israel menyiarkan gambar sekurang-kurangnya 100 lelaki Palestin yang ditangkap dan dikawal tentera Zionis dengan tangan mereka diikat dan tanpa sebarang pakaian melainkan seluar dalam, lapor portal berita MailOnline kelmarin.

Gambar mengejutkan itu menunjukkan lelaki-lelaki tersebut yang didakwa menyerah diri di kem pelarian Jabalia dan kawasan lain di sekitar utara Gaza, diangkut menggunakan trak tentera Israel.

Media Israel, Walla melaporkan bahawa pakaian semua lelaki berkenaan dilucutkan bagi membolehkan tentera Israel mengetahui sama ada mereka menyembunyikan sebarang senjata pada tubuh masing-masing.

Berpuluh-puluh tawanan itu dilaporkan diarak melalui Dataran Palestin di Bandar Gaza dengan kasut dan sandal berselerakan di sebatang jalan ketika lelaki-lelaki itu dimalukan secara terbuka.

Ketika ditanya mengenai imej tersebut, jurucakap tentera Israel, Laksamana Muda Daniel Hagari mengesahkan bahawa lelaki-lelaki berkenaan telah ditawan tetapi tidak menjelaskan sama ada mereka ialah pejuang Hamas atau orang awam.

Hagari berkata, tentera Israel telah menahan dan menyoal siasat beratus-ratus orang di Semenanjung Gaza yang disyaki mempunyai kaitan dengan Hamas.

Hagari memberitahu wartawan: “(Kem pelarian Palestin) Jabalia dan Shejaiya adalah ‘pusat’ bagi pejuang Palestin dan tentera Israel sedang memeranginya.

“Mereka bersembunyi di bawah tanah dan keluar dan kami memerangi mereka. Sesiapa yang tinggal di kawasan itu, mereka keluar dari dalam terowong dan sebahagian lagi daripada bangunan.

“Kami menyiasat siapa yang dikaitkan dengan Hamas dan siapa yang tidak. Kami menangkap mereka semua dan menyoal siasat mereka,” katanya.

Walla melaporkan pada petang Rabu lalu bahawa askar-askar Israel daripada Briged Simpanan ke-261 telah menangkap dan menyiasat semua tahanan tersebut.

Laman berita itu melaporkan bahawa mereka yang ditangkap akan disiasat di Gaza.

Terdapat laporan yang belum disahkan bahawa lelaki-lelaki itu ditangkap dari sebuah sekolah yang dikendalikan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di utara Semenanjung Gaza. – AGENSI

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI