fbpx

Maria Arshad masih separuh sedar di ICU

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PELAKON veteran Datin Maria Arshad dimasukkan ke hospital sejak pagi tadi selepas mengalami kekejangan pada badan.

PETALING JAYA – Pelakon veteran era 1980-an, Datin Maria Arshad masih berada dalam keadaan separuh sedar selepas dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) di salah sebuah hospital swasta sejak pagi tadi setelah mengalami kekejangan badan.

Menantunya iaitu pelakon dan penyampai radio, Sharifah Shahirah atau Shiera ketika dihubungi Kosmo! Online memaklumkan sehingga kini, doktor masih belum mengetahui punca sebenar masalah Kesihatan yang dialami ibu mentuanya.

“Mama (ibu mentua) masih dalam keadaan separuh sedar. Dia boleh melihat orang, cuma tidak memberikan sebarang respon (tindak balas).

“Sekarang doktor masih pantau keadaan mama dan nak naikkan bacaan garam dalam badan. Doktor sudah pun buat ujian imbasan pada otak dan tidak ada apa-apa masalah.

“Esok pagi baru doktor akan lakukan ujian Pengimejan Resonans Magnetik (MRI),” kata Shiera kepada Kosmo! Online.

Ujar isteri kepada pelakon Ijoy Azhari itu lagi, doktor juga telah melakukan ujian imbasan untuk mengesan sebarang sel kanser dan mendapati ibu mentuanya bebas daripada sebarang masalah berkaitan penyakit tersebut.

“Doktor juga ada lakukan ujian imbasan untuk mengesan sebarang sel kanser, tapi semuanya baik-baik sahaja. Keputusan lain seperti gula, jantung dan lain-lain juga baik,” katanya.

Kata Shiera, buat masa sekarang dia tidak dapat memberikan maklumat terperinci kerana doktor sendiri belum mengetahui punca atau masalah yang dihidapi ibu mentuanya.

“Saya nak cakap lebih-lebih pun, saya tidak tahu masalah yang dihadapi. Apa-apa pun kita tunggu Keputusan ujian MRI yang akan dilakukan nanti,” jelasnya.

Jelas Shiera, ibu mentuanya mula mengadu mengalami sakit urat pada bahagian belakang badan sejak Selasa lalu dan telah dibawa ke hospital oleh anaknya, Ijoy untuk pemeriksaan. Pemeriksaan yang dilakukan mendapati wanita itu tidak mengalami sebarang masalah penyakit serius.

Sakit belakang yang dialami Maria atau nama sebenarnya Kamariah Arshad kemudiannya melarat ke tangan sehingga anggota tersebut menjadi lemah dan sukar diangkat.

“Adik ipar kemudiannya bawa mama sekali lagi ke hospital. Keputusan ujian darah yang dilakukan mendapati semuanya baik-baik sahaja. Mama tiada darah tinggi, kencing manis, jantung dan buah pinggang semuanya baik.

“Jadi doktor hanya beri mama ubat tahan sakit dan juga koyok,” jelasnya.

Difahamkan, keadaan pelakon itu makin teruk sejak malam semalam, selepas mengalami muntah-muntah dan kejang otot akibat menahan sakit.

“Mama beritahu dia sangat sakit. Tidak tahu apa yang hendak dibuat, kami buat bacaan Yasin untuknya. Tidak lama selepas itu, dia alami kekejangan dan saya terus minta anak hubungi ambulans,” jelas.

Menerusi hantaran terkini dalam Instagram miliknya, Shiera meminta orang ramai untuk mendoakan agar ibu mentuanya berada dalam keadaan baik dan sembuh seperti sedia kala.

“Mama masih dipantau. Doakan supaya mak mentua saya segera sembuh ya,” pinta Shiera. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI