fbpx

Lakukan saringan kesihatan ketika sihat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RAMAI enggan melakukan pemeriksaan kesihatan kerana merasakan diri sihat. – Gambar hiasan

KESIHATAN merupakan satu hal yang penting dalam kehidupan kita.

Melalui kesihatan yang baik, kita dapat menjalani kehidupan dengan sejahtera.

Oleh itu, pemeriksaan kesihatan menjadi salah satu perkara yang penting dalam memastikan diri kita terhindar daripada sebarang masalah.

Namun begitu, kebanyakan daripada kita keberatan untuk menjalani pemeriksaan kesihatan kerana sentiasa merasakan diri sihat.

Ketua Jabatan Obstetrik dan Ginekologi, Fakulti Perubatan, Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU), Dr. Muralitharan Ganesalingam berkata, matlamat ujian saringan adalah untuk mengesan perubahan dalam badan sebelum menjadi tidak terurus.

Katanya, dengan cara ini, kita berpeluang mengubah suai gaya hidup dan mengelak penyakit tertentu.

“Secara ringkasnya, orang ramai perlu menjalani pemeriksaan kesihatan semasa sihat.

“Badan kita melalui proses penuaan semula jadi dan matlamat kita adalah menua secara sihat.

“Secara amnya, wanita berumur antara 19 hingga 24 tahun dianggap berada di kemuncak kesihatan.

“Bermula usia 25 tahun, lemak mula terkumpul terutamanya di pinggul, paha dan perut, manakala jisim otot semakin merosot,” katanya.

Tambahnya, bermula umur 35 tahun, jisim tulang berkurangan pada kadar 0.5 hingga 1 peratus setahun.

Semua itu adalah perubahan semula jadi walaupun setiap orang ada perbezaannya.

Dr. Muralitharan

Oleh itu, Dr. Muralitharan menasihati supaya pemeriksaan tahunan dilakukan sejurus mencapai usia dewasa.

Contohnya, apabila anda mula bekerja dan pemeriksaan dua kali setahun selepas berumur 45 tahun.

Sementara itu, statistik penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, tekanan darah tinggi dan kolesterol telah meningkat selama bertahun-tahun.

Oleh itu, Dr. Muralitharan mencadangkan pemeriksaan kesihatan tahunan untuk semua orang dewasa yang sihat harus bermula dengan ujian tekanan darah untuk memeriksa hipertensi.

Penyakit yang dikenali sebagai pembunuh senyap ini berkembang tanpa gejala ketara.

Ia telah menjejaskan tiga daripada 10 rakyat Malaysia, iaitu kira-kira 6.4 juta orang serta meningkatkan risiko strok dan serangan jantung.

Kiraan darah pula boleh mengesan penyakit seperti anemia.

Ini kerana, anemia menjejaskan tiga daripada 10 orang wanita berumur 15 hingga 49 tahun serta boleh menyebabkan komplikasi semasa hamil seperti keguguran dan kelahiran pramatang.

Kita juga perlu melakukan ujian glukosa darah untuk memeriksa diabetes. Ini memandangkan satu daripada lima orang dewasa menghidap diabetes iaitu bersamaan dengan 3.9 juta orang dewasa.

Pengiraan Indeks Jisim Badan (BMI) juga penting untuk memantau kenaikan berat badan dan membantu mencegah obesiti.

Statistik kebangsaan menunjukkan bahawa satu daripada dua orang dewasa mempunyai berat badan berlebihan atau obes.

Manakala, seorang daripada dua orang mempunyai obesiti perut, di mana wanita masing-masing menyumbang kepada 54.7 peratus dan 64.8 peratus.

Ujian lipid pula untuk memeriksa peningkatan paras kolesterol yang boleh menyebabkan penyakit jantung.

Sekitar empat daripada 10 rakyat Malaysia iaitu kira-kira 8 juta orang mempunyai tahap kolesterol tinggi.

Wanita berkemungkinan mempunyai tahap lebih tinggi berbanding lelaki.

Walaupun begitu, seorang daripada empat orang tidak menyedari bahawa mereka mempunyai kolesterol tinggi.

Kita juga harus melakukan saringan untuk melihat fungsi buah pinggang dan profil hati.

Hal ini kerana penyakit buah pinggang kronik menjejaskan seorang daripada tujuh rakyat Malaysia, dan diabetes merupakan faktor risiko ketara. Mengulas lanjut, Dr. Muralitharan berkata, terdapat perkara tertentu seperti

sejarah keluarga dan gaya hidup boleh meningkatkan risiko seseorang mengalami masalah kesihatan tertentu.

Menurutnya, faktor yang mungkin memerlukan pemeriksaan lebih kerap adalah peningkatan usia, sejarah keluarga, tahap tekanan tinggi dan gaya hidup tidak sihat serta mempunyai ramai pasangan seksual.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI