fbpx

Kesan cap jari, DNA pembunuh Zayn Rayyan dihantar ke Jabatan Kimia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zayn Rayyan.

PETALING JAYA – Kesan cap jari dan asid deoksiribonukleik (DNA) dipercayai milik suspek pembunuhan kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan telah dihantar ke Jabatan Kimia bagi mengenal pasti individu yang terlibat.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan bagaimanapun mengakui kerumitan yang perlu dihadapi pihaknya bagi merungkai perkara sebenar yang berlaku dalam usaha membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.

“Mengambil kira kes ini bukan straightforward (mudah) jadi pihak polis ketika ini mempunyai keterangan yang agak terhad untuk kita melakukan sebarang tangkapan dalam masa yang terdekat.

“Jadi ada dua fasa siasatan, pertama berkaitan pencarian dan mengumpul keterangan fizikal di tempat kejadian dan sekitar kawasan kejadian.

“Kedua melibatkan siasatan dari rumah ke rumah di mana kawasan ini ada lebih kurang 18 blok melibatkan 2,400 buah rumah,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian di sini hari ini.

Hussein berkata, keputusan ujian cap jari dan DNA dijangka akan diperoleh dalam tempoh dua ke tiga hari lagi diharap dapat membantu mengenal pasti suspek terbabit.

“Kita sudah menghantar beberapa barang kes yang diperoleh semasa bedah siasat kepada Jabatan Kimia Malaysia untuk mendapatkan maklumat forensik.

“Ini termasuk cap jari dan DNA suspek dan kita pun akan mulakan satu proses mask devious screening yang boleh membantu polis mengesan mereka yang terlibat,” katanya.

Dalam pada itu, Hussein turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan sebarang kenyataan palsu atau komen di media sosial berhubung kes itu.

Katanya, tindakan itu bukan sahaja boleh mengganggu siasatan malah ia juga di khuatiri menyinggung sensitiviti ahli keluarga mangsa.

“Jadi jangan mengeruhkan lagi keadaan, beri kepercayaan dan ruang kepada pihak polis untuk siasat sehingga tertangkapnya pihak yang terbabit,” katanya.-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI