fbpx
NINOT dan Mohd. Rudi aktif memartabatkan hikayat Melayu silam. Terbaharu mereka menubuhkan Hikayat Fandom Folklore World: Storyteller Guild yang beroperasi sebagai pusat sumber cerita rakyat yang ditempatkan di tingkat satu bangunan GMBB, Kuala Lumpur.

Hikayat Fandom Folklore World pusat sumber cerita hikayat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

“Bahawa beta minta diperbuatkan hikayat pada Bendahara peri persetua dan peri pertuturan raja-raja Melayu dengan istiadatnya sekali, supaya diketahui oleh segala anak cucu kita yang kemudian daripada kita, diingatkannya oleh mereka itu; Syahadan beroleh faedahlah ia daripadanya.”

Demikian petikan daripada naskhah Sulalatus Salatin yang diterjemah oleh penulis negara, A. Samad Ahmad.

Mukadimah naskhah dari zaman Kesultanan Melaka itu jelas memberitahu bahawa hikayat merupakan kisah penuh pedoman daripada orang terdahulu yang dititipkan untuk generasi seterusnya.

Sekiranya minat anak bangsa terhadap kesusasteraan Melayu klasik tidak dipupuk, nescaya lenyaplah kisah ketangkasan silat Puteri Walinong Sari, kepintaran Tun Perak dan seumpamanya dalam lembaran sejarah negara.

Enggan perkara tersebut terjadi, Zalina Abdul Aziz, 58, bersama suami, Mohd. Rudi Md. Daud, 48, nekad mermartabatkan kesusasteraan Melayu klasik dengan sentuhan moden.

Disebabkan itu, lahirnya sebuah platform yang menjadi tempat penyemaian minat umum terhadap hikayat lama.

Platform dikenali sebagai Hikayat Fandom itu pada asalnya merupakan sebuah syarikat penerbitan buku bertemakan cerita rakyat lama.

Ia ditubuhkan oleh pasangan merpati sejoli itu pada 2021, namun kini, usaha untuk memperjuangkan kesusasteraan Melayu klasik itu dikembangkan lagi dengan pembukaan Hikayat Book Gallery, Hikayat Fandom Folklore World dan Instagram Wall, #hikayatfandomdesakununjauhdisana.

Menurut Zalina atau lebih dikenali dengan nama pena, Ninot Aziz, dia dan suami aktif mencari ruang kerjasama dengan pelbagai pihak supaya terdapat kesinambungan usaha dalam kalangan penggiat seni budaya.

“Kami mementingkan seni budaya yang menjadi latar belakang buku terbitan kami sama ada antologi kisah legenda, novel grafik, komik dan novel.

“Sebagai contoh, tarian Mek Mulong yang dipersembahkan sebentar tadi diilhamkan daripada buku Putera Cahaya Bulan terbitan kami.

“Oleh itu, kami bekerjasama dengan pelukis ilustrasi, penggiat filem dan persembahan pentas bagi mempelbagaikan lagi medium penyampaian hikayat,” katanya kepada K2 baru-baru ini.

Ninot dan Mohd. Rudi ditemui pada majlis pelancaran Hikayat Fandom Folklore World: Storyteller Guild di pusat beli-belah komuniti kreatif GMBB, Kuala Lumpur. Hikayat Fandom Folklore World beroperasi sebagai pusat sumber cerita rakyat yang ditempatkan di tingkat satu bangunan tersebut.

Menerusi platform tersebut, Hikayat Fandom menyasarkan aktiviti bulanan melibatkan tukang cerita dan pelukis bersama kanak-kanak.

Persembahan tarian Mek Mulong yang diadaptasi berdasarkan hikayat Putera Cahaya Bulan 2.

Usaha itu dilakukan bagi menyuntik daya kreatif kanak kanak yang akan menjadi pewaris kepada khazanah negara itu.

Pembukaan pusat sumber cerita rakyat berkenaan mendapat sokongan daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Think City dan GMBB.

Berhadapan pusat tersebut pula berdirinya Hikayat Book Gallery yang dibuka pada 2022 sebagai hub jualan buku dan ilustrasi berdasarkan hikayat.

Bagi Ninot, pembukaan pusat sumber cerita rakyat itu menghidupkan kembali kenangan zaman kanak-kanak tatkala nenek moyangnya gemar bercerita hal-hal generasi terdahulu menerusi Hikayat Pahang.

“Saya dibesarkan dalam suasana kampung di Pahang. Di rumah datuk saya di Chenor, terdapat banyak hikayat seperti Awang Sulong Merah Muda, Malim Deman dan Panji Semirang.

“Ini menjadi titik mula saya cintakan hikayat Melayu. Sewaktu bersekolah di Assunta Convent Kuantan, saya mula mengambil bahagian dalam produksi teater Cik Siti Wan Kembang dan Puteri Saadong,” jelasnya.

Untuk rekod, buku tulisan Ninot bukan hanya tertumpu kepada orang dewasa, malah dibuat dalam versi kanak-kanak dan komik.

Tidak terhenti ­di situ, sebahagian hikayat hasil tulisan ibu kepada lima orang anak itu memiliki elemen fusion antara zaman lampau dan masa kini.

Sebagai contoh, kisah Tun Fatimah diterjemahkan dalam bentuk penjelajahan masa menerusi cerita Kirana: Dream After The Rose yang diterbitkan pada 2017.

Bakal menyusul tidak lama lagi adalah kisah novel misteri Leyla and The Lost Treasure of the Empire yang berlatarbelakangkan sejarah hubungan empayar Uthmaniyah dan Kesultanan Melaka.

Dalam pada itu, Mohd. Rudi yang memainkan peranan sebagai pengarah operasi Hikayat Fandom mendedahkan bahawa terdapat banyak wacana dan pembentangan kertas kerja dilakukan mereka di dalam dan luar negara.

Antara buku hikayat tulisan Ninot yang dipamerkan pada Hikayat Fandom Folklore World: Storyteller Guild, GMBB, Bukit Bintang, Kuala Lumpur baru-baru ini. – SYAKIR RADIN

Antaranya, penerbitan buku Dragonlore From East and West dengan kerjasama penulis dari 10 negara.

Selain itu, mereka terlibat dalam penerbitan filem digital bertajuk Tun Fatimah: The Rebel Queen yang diadaptasi daripada buku Kirana: Dream After The Rose.

Projek tersebut mendapat sokongan daripada Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

Menurutnya, hikayat membuktikan masyarakat lama kita memiliki idea dan kreativiti berkonsep ilmiah yang tinggi.

“Hikayat merangkumi tadbir urus, protokol, diplomasi, seni bina, pembinaan kapal, persenjataan dan tekstil.

“Ia juga merangkumi amalan perubatan, kesusasteraan, hiburan, muzik, tarian, kebijaksanaan dan pemikiran kreatif masyarakat pada zaman dahulu,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Rudi berkongsi bahawa puisi Pesanan Muktamad: Dari Mentari. Purnama. Kejora hasil tulisan Ninot telah menjadi puisi bahasa Malaysia yang diterbitkan dalam majalah Trilogi PolariS. Majalah tersebut akan diarkibkan di bulan menerusi program anjuran Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA).

“Puisi bahasa Melayu tulisan Ninot turut termasuk dalam Projek Lunar Codex antarabangsa yang akan dihantar ke bulan. Ia akan dilancarkan dalam kapsul masa di atas penerbangan Space X yang dijadualkan berlepas ke South Pole of the Earth’s Moon pada depan,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN