fbpx

Ganti rugi RM300,000: Rayuan Jamal Yunos Mac 2024

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jamal (kiri) dan Teresa Kok.

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan penangguhan terakhir rayuan Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md. Yunos terhadap perintah agar beliau membayar ganti rugi RM300,000 kepada Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok berhubung kenyataan berbaur fitnah berkaitan dana Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas).

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Supang Lian yang bersidang bersama-sama Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali dan Datuk Wong Kian Kheong menetapkan rayuan itu didengar pada satu tarikh lain.

Sementara itu, Penolong Kanan Pendaftar, Nur Adilah Halid pada sesi pengurusan kes menetapkan rayuan didengar pada 27 Mac 2024 manakala pengurusan kes akhir ditetapkan pada 13 Mac.

Terdahulu, peguam Phoon Wai Ken yang mewakili Teresa memaklumkan prosiding bahawa peguam Rejinder Singh yang mewakili Jamal bercuti sakit selama dua hari bermula semalam kerana mengalami jangkitan pada bahagian gigi.

“Kami memberi penangguhan terakhir rayuan ini atas alasan peguam perayu tidak hadir dan mendapat cuti sakit selama dua hari,” ujar Hakim Supang.

Hari ini, mahkamah sepatutnya mendengar rayuan Jamal terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memerintahkannya membayar ganti rugi RM300,000 kepada Teresa berhubung kenyataan berbaur fitnah berkaitan dana Yawas.

Pada 26 Julai 2022, Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mohd. Arief Emran Arifin membenarkan tuntutan saman fitnah Teresa terhadap Jamal yang difailkan enam tahun lalu setelah berpuas hati defendan gagal membuktikan pembelaannya.

Mohd. Arief Emran turut memerintahkan membayar ganti keseluruhan meliputi ganti rugi am, teruk dan teladan dalam tempoh 14 hari.

Mahkamah juga mengarahkan defendan membayar kos RM50,000 serta mengeluarkan perintah injunksi yang melarang defendan atau ejennya daripada mengulangi dakwaan itu.

Pada 8 Jun lalu, Teresa selaku plaintif menutup kesnya selepas mengemukakan keterangan dua saksi termasuk dirinya dan wartawan Malaysiakini, Annabelle Lee.

Jamal yang ketika itu tidak diwakili peguam tidak mengemukakan saksi defendan mahupun menyoal balas saksi-saksi plaintif pada perbicaraan tersebut.

Ketika itu, Jamal berkali-kali memohon penangguhan atas alasan beliau memerlukan masa untuk melantik peguam baharu mewakilinya, namun tidak dibenarkan oleh mahkamah.

Pada 29 Mac lalu, satu panel lain Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Jamal menangguhkan perintah ganti rugi RM300,000 dan kos RM50,000 kepada Teresa, sementara menunggu rayuannya diputuskan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI