fbpx

Banjir: ‘Kami selesa tinggal dalam loteng’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zaharah menunjukkan loteng rumahnya di Rantau Panjang yang menjadi tempat berlindung setiap kali musim banjir.

RANTAU PANJANG – Segelintir penduduk yang tinggal di pinggir Sungai Golok di sini memilih untuk tidak berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS), sebaliknya nekad tinggal di atas loteng rumah setiap kali tibanya musim banjir.

Bagi penduduk, mereka lebih selesa berada di rumah sendiri selain dapat memantau keadaan rumah daripada dimasuki pencuri.

Seorang warga emas , Zaharah Derasa, 80, berkata, dia dan keluarganya menjadikan loteng seluas sebuah bilik tidur di atas rumah sebagai tempat berlindung semasa banjir sejak 10 tahun lalu.

Menurutnya, kawasan rumahnya di sekitar kawasan pekan Rantau Panjang di sini ketika ini dinaiki air setinggi 0.3 meter sebelum dia dan anaknya, Mohd. Rozi Isa, 43, mengambil keputusan untuk tinggal di atas loteng.

“Saya sudah menyiapkan barangan dapur sejak lebih sebulan lalu kerana tahu keperluan itu sukar untuk didapati atau mungkin terputus semasa musim banjir.

“Semua barangan makanan dan dokumen peribadi selamat berada di atas loteng ini. Kami boleh tinggal di sini selama tempoh musim tengkujuh melanda Rantau Panjang,” katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.

Bagi Azizah Abdul Rahman, 53, pula, dia turut tidak berpindah ke PPS setiap kali rumahnya dinaiki air banjir dan memilih untuk tinggal di loteng rumah.

“Air banjir di sini melepasi paras satu meter dan ramai antara kami memilih untuk tidak berpindah ke PPS kerana ada loteng. Setakat ini, loteng rumah selamat untuk didiami kecuali air naik melepasi paras bumbung rumah.

“Selain tempat tidur, ruangan loteng ini turut dijadikan tempat memasak untuk kami sekeluarga sementara menunggu banjir surut, “katanya.

 

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI