fbpx

Anjing K9 bantu kesan Zayn Rayyan hilang sudah 24 jam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zayn Rayyan dilaporkan hilang pukul 12 tengah hari semalam.

PETALING JAYA – Ibu kepada kanak-kanak autistik yang dilaporkan hilang sejak semalam mahu beralih kepada kaedah perubatan Islam bagi mengesan lokasi keberadaan anaknya itu.

Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, dilaporkan hilang sejak semalam selepas kali terakhir dilihat bermain di taman permainan di Apartment Idaman, Damansara Damai, di sini sebelum memasuki kawasan belukar tidak jauh dari kediaman terbabit.

“Sudah 24 jam anak saya dilaporkan hilang, kalau masih tidak jumpa saya akan cuba ikhtiar secara (perubatan) Islam melalui solat hajat dan sebagainya untuk mencari Zayn Rayyan.

“Dia tidak pernah terlepas daripada saya dan suami sebelum ini. Saya bimbang akan keselamatan Zayn kerana dia tidak pernah berseorangan.

“Dia hanya boleh menyebut mummy, daddy,” kata Ismanira Abdul Manaf ketika ditemui pemberita, di sini hari ini.

Menceritakan semula kejadian itu, Ismanira, 28, memaklumkan, ketika itu dia dalam perjalanan naik ke rumahnya di tingkat dua selepas mengambil Zayn pulang dari sekolah berhampiran pukul 12.30 tengah hari, semalam.

Ismanira ketika ditemui pemberita di lokasi terakhir anaknya hilang di Apartment Idaman, Damansara Damai, Petaling Jaya, hari ini.

Katanya, sebaik tiba di kawasan perumahan itu anak sulung daripada dua beradik tersebut secara tiba-tiba meragam dan mahu bermain buaian di taman permainan.

“Saya turuti permintaannya dan menunggu dia bermain buaian selama beberapa minit sebelum memujuknya naik ke rumah kerana saya perlu memasak serta menyiapkannya untuk dihantar ke rumah pengasuh.

“Ketika menaiki tangga, saya memegang barangan basah yang dibeli dan beg sekolah sementara Zayn mengekori saya dari belakang.

“Namun selepas beberapa langkah saya memanggil namanya, dia tidak menjawab. Apabila saya toleh ke belakang lihat dia sudah tiada,” katanya.

Jelas Ismanira, dia berpatah balik untuk mencari anaknya itu di taman permainan dan di kawasan belakang blok rumahnya, namun gagal ditemukan.

Mengulas lanjut, Ismanira bersama suaminya tidak pernah berhenti mencari Zayn sejak semalam di kawasan sekitar kerana nalurinya kuat mengatakan mangsa yang hilang tidak jauh dari rumahnya.

“Naluri saya kata dia (Zayn Rayyan) tidak akan pergi jauh, mungkin tersalah masuk rumah orang. Anak saya anak istimewa jadi dia akan masuk sahaja mana-mana rumah kalau pintu itu terbuka, itu naluri saya.

“Sekarang kita dapatkan bantuan pihak polis dengan Unit Anjing Pengesan (K9) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk membantu mencarinya di kawasan sekitar, namun tiada sebarang jejak ditemukan,” katanya.

Sehubungan itu, Ismanira berharap anak istimewanya segera ditemukan dan meminta orang ramai membantu mencari anaknya bersama-sama. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI