fbpx

‘Rehat dengan tenang Angah, boleh jumpa, jaga Bee di sana’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wan Shahrizat bersama anaknya, Wan Sabeena (Bee).

PETALING JAYA – “Rehat la dengan tenang Angah, boleh jumpa dan jaga Bee, Papa serta Mama dah di sana. Terima kasih sebab jadi abang yang baik untuk Ebok.”

Itu antara luahan adik ipar Wan Shahrizat Azwan Wan Shahril, 28, yang meninggal dunia pagi tadi, selepas kritikal selama lapan hari akibat kemalangan di Kilometer 69, Jalan Kota Bharu-Gua Musang, minggu lalu.

Kata wanita itu menerusi akaun TikToknya @muyaaarosdi_, sebentar tadi, dia pasti merindui arwah Wan Shahrizat kerana sering memanggilnya ‘Ebok’ dan menjadi pendengar yang setia.

“Lepas ni tak ada dah yang nak kongsi makanan bila Ebok masak, mujur Angah boleh makan roti sardin Ebok kan sebelum Angah pergi Kuala Lumpur hari tu.

“Tak ada dah yang ketuk pintu nak tumpang lalu, nak basuh baju. Tak ada dah bunyi ekzos motosikal masa Angah balik kerja dan yang terasa sangat, panggilan Ebok tu. Ebok rindu Angah,” katanya.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, konvoi tiga kenderaan berakhir dengan tragedi selepas bayi perempuan berusia tujuh bulan rentung, dalam kemalangan pada 27 November lalu.

Dalam kejadian pukul 4 pagi itu, bayi tersebut, Wan Sabeena Arisha Wan Shahrizat (Bee), bapanya, Wan Shahrizat dan ibunya, Norhasidah Razmi, 25, dalam perjalanan ke Kota Bharu.

Siasatan mendapati kereta itu hilang kawalan sebelum melanggar pembahagi jalan sehingga menyebabkan ia terbakar 100 peratus.

Petang ini, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Deputi Superintendan Kamarulzaman Harun mengesahkan, Wan Shahrizat meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) pada pukul 10.45 pagi tadi.

Menurutnya, arwah sebelum ini dirawat di Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP), Kuala Krai sebelum dipindahkan ke HRPZ II atas permintaan ahli keluarganya. – KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI