IPOH – Hanya lima peratus pesakit psikiatri yang masih ditempatkan di wad-wad Hospital Bahagia Ulu Kinta (HBUK) di Tanjung Rambutan dekat dengan rata-rata mereka berusia antara 70-an hingga 80-an.
Pengarah HBUK, Dr. Yusni Yusuff berkata, kebanyakan daripada mereka direkodkan mula menerima rawatan di hospital tersebut sejak tahun 1980-an hingga awal 1990-an.
“Mereka masih ada di sini, cuma bilangannya terlalu sedikit iaitu sekitar lima peratus daripada kira-kira 1,000 orang pesakit di wad pada satu-satu masa.
“Usia mereka adalah sekitar 70 hingga 80-an. Ada antara mereka dari segi fizikal sudah sihat, mental pun stabil tetapi tak keluar disebabkan pelbagai faktor. Antaranya ada yang ketiadaan ahli keluarga lain,” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.
Beliau berkata, prosedur operasi standard (SOP) yang berbeza sebelum ini menyebabkan pesakit psikiatri dirawat di HBUK untuk satu tempoh yang lama.
Katanya, pada peringkat awal, mereka berkemungkinan masih mempunyai ahli keluarga ataupun yang mengambil berat termasuk yang sentiasa mengunjungi pesakit-pesakit berkenaan di wad.
Bagaimanapun, menurut Yusni, tempoh rawatan yang panjang menyebabkan kekerapan lawatan itu berkurangan bagi sebilangan kes sehinggalah pesakit terputus hubungan dengan ahli keluarga masing-masing kerana pelbagai faktor.
“Antara faktor tersebut ialah kematian ibu bapa pesakit tersebut, selain adik-beradik yang lain mempunyai komitmen masing-masing.
“Apatah lagi mereka yang mempunyai hubungan tidak baik dengan ahli keluarga sendiri bahkan diburukkan lagi kekerapan pengulangan penyakit mental dalam kalangan pesakit.
“Berbeza dengan hari ini, pihak hospital mengambil langkah proaktif mengesan ahli keluarga pesakit-pesakit berkenaan, selain turut mengadakan lawatan susulan di kediaman mereka (pesakit) sebagai sebahagian daripada sistem sokongan kita (terhadap pesakit),” katanya.
















