fbpx

‘Tekak kami sudah loya hidu bau busuk setiap hari’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rahim (dua dari kanan) bersama penduduk menunjukkan kawasan tapak sampah haram di Kapar, Klang.

KLANG – Lebih 300,000 penduduk daripada tujuh buah kampung di Batu 14, Kapar di sini terpaksa menghidu asap busuk dari sebuah tapak pelupusan sampah haram yang semakin menggunung sejak tiga tahun lalu.

Antara kampung yang terlibat ialah Kampung Sungai Serdang, Kampung Batu 12, Kampung Tok Muda, Kampung Bukit Kerayong dan Bukit Kapar.

Pengerusi Badan Bertindak Kapar yang juga wakil penduduk, Rahim Iska berkata, isu melibatkan tapak di tanah seluas 1.2 hektar itu semakin memburuk sewaktu pandemik Covid-19 pada pertengahan tahun 2020.

Menurutnya, pembakaran sampah oleh pihak tidak bertanggungjawab itu berlaku hampir setiap hari terutama pada waktu malam hingga awal pagi.

“Pembakaran itu bukan sahaja mengeluarkan asap, malah bau busuk sehingga ada penduduk yang sesak nafas, loya dan muntah. Keadaan ini membahayakan ke­sihatan terutama kanak-kanak dan warga emas,” katanya ketika ditemui semalam.

Terdahulu, beliau bersama 100 penduduk membuat bantahan aman dan menyerahkan memorandum berhubung masalah itu kepada Ahli Parlimen Kapar, Dr. Halimah Ali.

Sementara itu, penduduk, Mohamad Mishan Md. Nor, 61, memberitahu, bau sisa sampah boleh dihidu pada jarak 200 meter dari rumah penduduk Kampung Su­ngai Serdang hingga menyebabkan dia sukar bernafas.

“Bau busuk begitu kuat pada waktu malam hingga awal pagi sehingga membuatkan saya insomnia sejak 2021.

“Sudah tujuh kali saya terpaksa mendapatkan rawatan di hospital akibat gejala sesak nafas disebabkan pencemaran bau,” katanya.

Bagi penduduk Kampung Tok Muda, Sharuddin Mohammad, 57, dia berasa kesal memandang­kan masalah itu sudah banyak kali diajukan kepada pihak berkaitan, namun tiada jalan penyelesaian sehingga kini.

“Tekak kami sudah kembang dan loya sebab kerap hidu bau busuk ini. Tolonglah bantu selesaikan pencemaran ini,” katanya.

Dalam pada itu, Halimah menggesa pasukan khas diwujudkan bagi menangani isu ber­kenaan daripada terus berlarutan demi kesejahteraan dan keharmonian penduduk.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI