fbpx

Lima termasuk Datuk didakwa edar dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tertuduh warga tempatan, Datuk Loong Chan Yow (depan) bersama Wong Fook Loy , Chai Choon Foo, bersama dua lagi suspek warganegara Myanmar, Win Min Hliang, dan Kaung Myat Phyoe dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan mengedar dadah di Mahkamah Majestret, Johor Bahru disini. UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI Pemberita: Faizal

JOHOR BAHRU – Lima lelaki termasuk seorang yang bergelar ‘Datuk’ dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas tiga pertuduhan mengedar dadah jenis Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) seberat 23.5 kilogram (kg) di sebuah premis di Jalan Sagai, Taman Pasir Putih, Pasir Gudang, Isnin lalu.

Ketiga-tiga tertuduh warga tempatan, Datuk Loong Chan Yow dan Wong Fook Loy masing-masing berusia 46 tahun dan Chai Choon Foo, 54, mengangguk faham pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret, R. Salina.

Bagaimanapun, tiada pengakuan di direkodkan.

Bagi dua lagi suspek warganegara Myanmar, iaitu Win Min Hliang, 30, dan Kaung Myat Phyoe, 26, pertuduhan terhadap mereka akan dibacakan pada sebutan semula kes pada 23 Januari depan setelah jurubahasa dipanggil ke mahkamah.

Mengikut kertas pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh didakwa mengedar dadah berbahaya jenis serbuk MDMA dengan anggaran berat kasar 23.1kg dan jenis pil MDMA dengan anggaran berat kasar 368 gram.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 11 pagi di sebuah premis di Jalan Sagai, Taman Pasir Putih, Pasir Gudang pada 27 November lalu.

Bagi perbuatan itu, tertuduh telah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 39b(1)(a) Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama dan dibaca bersama dengan Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Mereka boleh dijatuhkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang daripada 15 kali sebatan, jika disabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Fatimah Mamu manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Mohd. Hamizi Mohd. Yusof.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 23 Januari depan bagi serahan laporan kimia dan memanggil jurubahasa untuk tertuduh warganegara Myanmar.-KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI