fbpx

Pemuda sanggup ‘songlap’ duit demi perkahwinan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MIZI telah mengkhianati kepercayaan yang diberikan oleh majikan kedai makan kepadanya apabila dia bertindak mencuri duit jualan kedai itu untuk membuat persiapan perkahwinan. – Gambar hiasan

PERKAHWINAN merupakan satu perkara yang diidam-idamkan semua pasangan bercinta.

Menerusi ikatan pernikahan yang sah bermulalah keluarga yang bahagia.

Begitu juga dengan Mizi (bukan nama sebenar) yang mengimpikan sebuah rumah tangga penuh kebahagiaan.

Pun begitu, bagi Mizi, untuk ke arah itu (bernikah), bukan semudah mengungkapkan abjad ABC kerana perlu memikirkan beberapa perkara penting terutamanya komitmen kewangan.

Mengingati pernikahannya beberapa tahun lalu, Mizi akan berasa serba salah kerana ia mengaitkan juga dengan perbuatan salah yang pernah dilakukannya.

Menceritakan apa yang telah terjadi, Mizi berkata, selepas mengenali Mila (bukan nama sebenar) hampir tiga tahun, mereka berdua sepakat untuk berumah tangga.

“Saya hanya bekerja sebagai pembantu kedai makan memandangkan saya sendiri tidak mempunyai pelajaran tinggi.

“Mila juga sama seperti saya. Kami berdua senasib dan hidup dalam keadaan ala kadar dan sederhana sahaja,” katanya.

Meneruskan perkongsian, Mizi menyatakan dia dan Mila sepakat untuk sama-sama bekerja keras untuk menghalalkan hubungan mereka.

Ujar anak kelahiran Jasin, Melaka itu lagi, dia juga melakukan beberapa kerja sambilan dalam satu masa untuk menambah pendapatan dan mencari duit untuk berkahwin.

Katanya, dia turut bekerja di stesen minyak, tetapi mengutamakan kerja pembantu restoran sebagai tugas utamanya.

“Saya sebenarnya kerja sebagai pembantu restoran sudah hampir 8 tahun. Pemilik premis juga sudah kenal dan percayakan saya.

“Daripada mengambil pesanan dan membersihkan kedai, sampailah saya diberi kepercayaan menjaga akaun dan keluar masuk aliran tunai.

Bagi mendirikan rumah tangga, seseorang lelaki perlu ada persediaan kewangan antaranya bagi menyediakan mas kahwin dan hantaran perkahwinan. – Gambar hiasan

“Saya juga diberi amanah untuk menjadi leader (ketua) dan menjaga beberapa anak buah di bawah kendalian saya sendiri,” katanya lagi.

Mizi mengakui dia semakin tertekan memandangkan hari pernikahannya yang ditetapkan keluarga Mila semakin hampir, namun wang hantaran dan persiapan perkahwinan masih belum mencukupi.

Katanya, pihak sebelah perempuan tidaklah menetapkan wang hantaran terlalu tinggi, tetapi RM8,000 pun sudah begitu tinggi dan membebankan baginya.

“Entah apa yang merasuk fikiran dengan emosi yang sedikit terganggu dan mendesak ketika itu, saya mula ‘beranikan’ diri untuk mencuri sedikit demi sedikit wang.

“Pada permulaan, saya mengambil RM20 sehari dan lama-kelamaan ia sudah menjadi kebiasaan tanpa saya berasa takut dan bersalah.

“Berbulan juga saya lakukan perkara tersebut. Jujur saya katakan, saya juga pernah ‘songlap’ wang hasil perniagaan sebanyak RM200 sehari tanpa langsung diketahui pemilik.

“Pemilik juga sudah semakin uzur dan jarang datang ke kedai. Dia betul-betul percayakan saya yang sudah dianggap seperti anak sendiri.

“Kebaikan itu membuatkan saya rasa itu adalah tiket dan peluang sebenar untuk saya lakukan perkara tidak baik itu.

“Jujur saya katakan, ribuan ringgit juga telah saya ambil untuk dijadikan wang hantaran dan persiapan perkahwinan tanpa diketahui siapapun,” tutur Mizi yang kini berusia hujung 20-an.

Akui Mizi, perkahwinan sederhana serta secara ringkasnya selamat berlangsung dan hingga ke saat ini, dia berasa begitu bersalah kerana perbuatan lampau yang dilakukan tanpa berfikir panjang itu.

“Setiap kali melihat wajah isteri dan dua anak kami, saya pasti akan teringat perbuatan haram yang pernah saya lakukan.

“Paling disesali, saya tidak sempat meminta maaf dan membayar semula kesemua wang saya ambil dengan pemilik kedai kerana dia telah pergi menemui pencipta-Nya,” katanya sebak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI