fbpx

Manfaatkan industri kraf batik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KETUA Setiausaha MOTAC, Datuk Roslan Abdul Rahman (kanan) melihat batik tanah liat yang dihasilkan di gerai jualan komuniti kraf diiringi ‘Ainu Sham (kiri) sempena Sambutan Hari Batik Malaysia 2023 di Kompleks Kraf, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Penganjuran Sambutan Hari Batik Malaysia 2023 di Kompleks Kraf di sini yang bermula semalam telah memberi limpahan ekonomi kepada para usahawan dan pengusaha kraf batik tempatan.

Sambutan yang berlangsung selama lima hari sehingga Isnin ini dari pukul 10 pagi hingga 10 malam itu dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia).

Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, ‘Ainu Sham Ramli berkata, pengisytiharan Hari Batik Malaysia memperlihatkan semangat jati diri rakyat negara ini yang menghargai kraf warisan tempatan.

“Penganjuran sambutan ini bertujuan untuk memartabat dan memperkasakan industri kraf batik bagi meningkatkan kesedaran dan penggunaan batik Malaysia dalam kalangan rakyat, sekali gus ia bakal melonjakkan industri kraf di negara ini,” katanya dalam ke­nyataan bersempena pelancaran sambutan Hari Batik yang telah masuk tahun ketiga di sini.

Sambutan tersebut diadakan bersempena pengisytiharan Hari Batik Malaysia pada 3 Disember setiap tahun dengan bertemakan ‘Ini Batik Malaysia’.

‘Ainu Sham menjelaskan, lebih menarik, Jualan Rahmah Batik akan diadakan pada Ahad ini dengan tawaran harga di bawah RM100 merangkumi produk kraf batik seperti kemeja lelaki, kain pasang, blaus, kardigan dan ba­nyak lagi.

Antara pengisian aktiviti yang dilaksanakan juga adalah Jualan Kraf Batik, Pameran Kraf, Demonstrasi Kraf Batik, Interaktif Kraf dan Jom Membatik (1 Disember).

Selain itu, para pengunjung juga boleh menyertai Batik Malaysia Treasure Hunt (2 Disember), Zumbatik (3 Disember) dan di­ pe­lawa me­nyaksikan persembahan ke­­senian.

Hari Batik Malaysia 2023 juga disambut serentak di semua cawangan negeri Kraftangan Malaysia dan Kompleks Kraf Langkawi.

Sambutan ini turut diadakan di pusat beli-belah seper­ti AEON Mall Manjung (Perak), KB Mall (Kelantan), One Borneo Kota Kinabalu (Sabah) dan Freeport A’Famosa Outlet (Melaka).

Aktiviti di peringkat negeri turut melibatkan Jualan Rahmah Batik, Pameran Kraf, Demonstrasi Kraf Batik, Interaktif Kraf dan Jom Membatik.

Dalam pada itu, seorang komuniti kraf baharu, Azmeer @ Zemeer, 47, melahirkan rasa teruja kerana dapat mempromosikan Batik Tanah Liat (Batik Clay) yang diusahakannya sejak dua tahun lalu pada sambutan Hari Batik Malaysia 2023 kali ini.

Ini adalah penyertaan kedua anak kelahiran Jasin, Melaka mempromosi dan menjual hasil seninya di pameran ini selepas menyertai program tersebut tahun lalu.

Beliau juga adalah peserta yang mengikuti Makmal Pembangunan dan Pengeluaran Produk Kraf Batik Tanah Liat di bawah Projek Pembangunan Kemahiran Komuniti (PPKK) Jasin, Melaka.

“Bila dapat berkumpul de­ngan usahawan kraf dan komuniti dalam bidang batik ini, ia lebih membuka minda saya untuk jadi lebih kreatif.

“Harapan saya agar rakyat Malaysia mengenali le­bih dekat tentang Batik Tanah Liat sekali gus memilikinya sebagai koleksi berharga,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI