fbpx

Tekong darat Geng Otong dijel 5 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHAMMAD ZAHEER dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru hari ini selepas didapati bersalah terlibat dalam kumpulan jenayah terancang penyeludupan migran Geng Otong, antara 1 Januari 2015 sehingga 4 Jun 2020.

JOHOR BAHRU – Seorang tekong darat dijatuhi hukuman penjara selama lima tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah menjadi ahli kumpulan jenayah terancang penyeludupan migran Geng Otong, antara Januari 2015 sehingga Jun 2020.

Hakim Datuk Abu Bakar Katar membuat keputusan itu selepas tertuduh, Mohammad Zaheer Ali, 34, membuat pengakuan bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut kertas pertuduhan, bapa kepada tiga cahaya mata itu didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang yang dikenali Geng Otong di daerah Kota Tinggi antara 1 Januari 2015 sehingga 4 Jun 2020.

Pertuduhan ke atas lelaki itu dikemukakan mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan (Akta 574) dan boleh dihukum mengikut seksyen yang sama. Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun.

Kes pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Faris Ab Jalil manakala tertuduh diwakili peguam Muzammil Hariri.

Dalam hujah rayuan, Muzammil memohon mahkamah menjatuhkan satu hukuman minimum berdasarkan hujah kesalahan tertuduh adalah kesalahan pertama dan tertuduh layak diberi peluang kedua selain tindakan mengaku salah hari ini telah memendekkan proses prosiding mahkamah.

Hakim menjatuhkan hukuman penjara selama lima tahun dari tarikh tertuduh ditangkap pada 4 Jun 2020.

Mengikut fakta kes, pada pukul 8.24 malam, 2 Jun 2020, satu laporan polis telah dibuat bersabit kes repot Kota Tinggi 4930/20 bahawa satu risikan yang dibuat ke atas satu kumpulan jenayah terancang dikenali sebagai Geng Otong yang dipercayai terlibat dalam aktiviti penyeludupan keluar masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia.

Kumpulan jenayah ini diketuai oleh seorang lelaki warga negara Indonesia yang dikenali sebagai Otong.

Pada 4 Jun 2020, tertuduh iaitu Mohammad Zaheer ditangkap pasukan polis kira-kira pukul 6 petang di sebuah rumah di Batu 14 Jalan Sungai Tiram, Ulu Tiram, Johor Bahru.

Hasil siasatan mendapati tertuduh terlibat secara langsung yang bertindak sebagai tekong darat kumpulan Geng Otong yang mengatur perjalanan bot berlepas dan mengarahkan ‘transporter’ untuk mengambil mana-mana PATI untuk dihantar ke transit atau rumah penampungan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI