BAGAI pinang dibelah dua, dengan senyuman manis tidak lekang daripada bibir pasangan mempelai, penyanyi Nabila Razali dan suaminya, Nik Iruwan petanda kebahagiaan sedang mengebu-gebu di hati mereka.
Sepanjang sesi temu bual bersama pihak media usai majlis resepsi perkahwinan bertemakan batik Jawa di Hotel Royale Chulan Damansara, Selangor pada Ahad lalu, pandangan Nik Iruwan tidak lepas daripada Nabila.
Melihat kebahagian mereka, membuktikan perkenalan yang singkat bukanlah satu halangan untuk memacu cinta ke jenjang pelamin pada 18 November lalu.
“Tempoh masa perkenalan tidak penting. Bagi saya perkara yang penting adalah momen-momen kami bersama,” ujar Nabila.

Memilih untuk merahsiakan percintaan mereka sebelum mengumumkan lamaran kepada umum menerusi Instagram, bagi Nabila itu satu keputusan yang tepat.
“Seperti kata orang tua, berkawan atau bertunang lebih baik dirahsiakan, jadi selepas bernikah saya uar-uarkan untuk pengetahuan umum.
“Bagi saya, ketika perkenalan tidak perlu ada penglibatan orang lain, tetapi sebagai orang dikenali sudah tentu peminat hendak tahu apa yang berlaku dalam kehidupan peribadi saya.
“Sewaktu dilamar, memang saya putuskan untuk beritahu kepada peminat dan orang ramai. Sebab saya tidak mahu orang tertanya-tanya sehingga timbul fitnah.
“Jadi lebih baik pengumuman itu datang dari mulut saya sendiri,” ujar Nabila.

Istimewa
Ditebak apakah istimewa si suami, sehingga hatinya terbuka untuk menerima lamaran ahli perniagaan terbabit? Sambil tersenyum, Nabila mendedahkan kehadiran Nik Iruwan melengkapi dirinya.
“Pada mata saya suami melengkapi apa yang kurang dalam diri saya. Selebihnya hanya Allah sahaja yang tahu. Saya berharap dan berdoa agar perkahwinan kami akan kekal sehingga ke syurga,” tutur penyanyi Peluang Kedua itu.
Sementara itu, bagi Nik Iruwan, penyanyi Pematah Hati itu itu cukup istimewa sehingga dia tidak berfikir panjang untuk menyuntingnya sebagai suri hati.
“Setakat ini saya tidak jumpa lagi kekurangan Nabila. Bermula daripada perkenalan semuanya berjalan lancar walaupun perkahwinan adalah satu keputusan yang besar untuk saya dan dia.
“Dia cukup sempurna sehingga saya tidak ada rasa berbelah-bahagi untuk melamarnya.
“Dia seorang yang sangat teratur dan tempoh seminggu tinggal bersama adalah hari-hari paling bahagia dalam hidup saya,” luah Nik Iruwan.
Menggalas tanggungjawab sebagai isteri, Nabila juga sedar perlu bijak membahagikan masa antara keluarga dan kerjaya nyanyian.

Bagaimanapun penyanyi berusia 31 tahuh itu bertuah kerana suaminya, sentiasa memberi sokongan dan tidak pernah menghalang untuknya kekal aktif dalam dunia seni.
“Saya sentiasa menyokong apa yang isteri lakukan termasuk kerjayanya sebagai penyanyi.
“Dia seorang yang berdikari dan sibuk dengan kerja, sama seperti saya.
“Tidak ada masalah untuk Nabila meneruskan kerjayanya.
“Sebagai suami, saya menyokong dan jika ada perkara yang boleh membantunya untuk menjadi penyanyi yang lebih baik, saya sentiasa ada bersama,” kata Nik Iruwan.

Akui bekas pelumba kereta itu, sebelum berkenalan, dia tidak mengenali Nabila sebagai penyanyi meskipun pernah beberapa kali terserempak di beberapa buah acara.
“Saya pernah nampak dia sebelum ini, tetapi tidak mengenalinya sebagai penyanyi.
“Selepas berkenalan lebih rapat barulah saya tahu dialah yang menyanyikan lagu-lagu di radio. Nabila memang jodoh saya yang diaturkan Allah,” tutur Nik Iruwan tersenyum.
Bertutur lanjut tentang perancangan keluarga, Nabila mahupun suami tidak meletakkan sebarang sasaran untuk memiliki anak sebaliknya menyerahkan kepada rezeki Allah.
“Soal anak kami tidak kisah, cepat atau lambat terpulang kepada rezeki,” kata Nabila.

Bulan madu
Sudah lebih seminggu bernikah sejak 18 November lalu, sehingga ke hari ini Nabila dan suami belum berkesempatan untuk pergi berbulan madu.
“Perancangan berbulan madu memang ada, tetapi saya masih ada kerja yang perlu diselesaikan. Saya tidak mahu kongsi lokasi berbulan madu, nanti lihat sahaja dalam media sosial saya,” ujar Nabila.
Dalam majlis resepsi bertemakan Batik Jawa baru-baru ini, Nabila turut melancarkan single terbaharunya yang berjudul Hanya Kamu yang didedikasikan buat suami tercinta.
Cukup romantis, Nabila turut mendendangkan lagu tersebut secara langsung di hadapan suami dan para tetamu yang hadir.
“Ketika Nabila menyanyikan lagu tersebut, saya berada dalam zon saya dengan dia sahaja. Kami berpandangan antara satu sama lain. Dia sangat istimewa,” ucap Nik Iruwan.
Antara rakan artis yang turut hadir menyerikan majlis resepsi Nabila dan Nik Iruwan termasuklah Hael Husaini, Amira Othman, Aisyah Retno, Neeta Manis dan Lah Ahmad.

18 November lalu.














