KLUANG – “Tunggu kami di pintu syurga wahai anak-anak.”
Demikian ungkapan ringkas tapi penuh bermakna daripada sepasang suami isteri, Mohd. Sharul Hassan, 38, dan Aisah Mohd. Salleh, 34, selepas kehilangan anak istimewa, Nor Rahil Raihan, 5, akibat kemalangan kelmarin.
Nor Rahil Raihan sebelum ini menderita penyakit Hidrosefalus sejak dilahir iaitu keadaan apabila berlaku pengumpulan cecair otak (Cerebro Spinal Fluid) yang berlebihan.
Penyakit itu menyebabkan kepala kanak-kanak itu menjadi besar dan diserang sawan.
Sebelum ini, pasangan itu turut kehilangan dua anak istimewa, Nor Iman Shah, 13, pada tarikh sama tahun lalu dan Nur Raihan Shah sebulan selepas dilahirkan di Hospital Kuala Lumpur akibat penyakit berkenaan.
Mengimbau semula kejadian itu, Mohd. Sharul berkata, anak bongsu itu tidak dapat diselamatkan selepas terlibat dalam kemalangan bersama Aisah ketika dalam perjalanan pulang sebaik mengambil anaknya, Nor Izzul Islam, 8, dari sekolah pada pukul 4.10 petang.
Katanya, kemalangan di Jalan Selar, Taman Ilham itu melibatkan dua buah kenderaan.
Berita berkaitan: Suami isteri reda jaga tiga anak sakit
“Nor Rahil Raihan yang cedera dirawat di zon merah Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di sini. Bagaimanapun, selepas lima jam, dia telah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada pukul 9 malam.
“Kami reda dengan takdir ini, tiga anak kami sudah pergi menghadap Ilahi dan saya yakin mereka tunggu di pintu syurga,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Baru di sini semalam.
Menurut Mohd. Sharul, walaupun bersedih mereka reda kerana sudah sampai masa anaknya menemui Pencipta dan tidak lagi menanggung kesakitan yang dihidapinya selama ini.
“Dia dan abang sulung tunggu kami di pintu syurga,” katanya menahan sebak.
Kisah mengenai penderitaan tiga anak Mohd. Sahul sebelum ini mendapat liputan meluas media sehingga banyak pihak yang tampil memberikan sumbangan bagi tujuan menampung kos rawatan mereka.
Keluarga berkenaan hidup dalam keadaan sederhana dengan mengharapkan bantuan RM500 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat serta Majlis Agama Islam Negeri Johor, RM300.
Mohd. Sharul pula mengambil upah mengecat rumah dengan gaji RM700 sebulan dan wang itu dikumpulkan untuk perbelanjaan mereka sekeluarga.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, kemalangan tersebut melibatkan dua buah kenderaan iaitu kenderaan pelbagai guna jenis Naza Ria dipandu Aisah dan Proton Wira di tepi jalan.
“Mereka dalam perjalanan dari Kampung Paya ke kediamannya di Jalan Ilham 3.
“Sebaik sampai di lokasi kejadian, Aisah dikatakan secara tiba-tiba hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar kereta Proton Wira yang sedang parkir di tepi jalan seterusnya melanggar pagar,” katanya.
Menurut Bahrin lagi, Aisah dan dua orang anaknya kemudiannya dihantar ke HEBHK akibat kecederaan, namun Nor Rahil Raihan disahkan meninggal dunia akibat pendarahan kronik dan kecederaan abdomen dalaman disebabkan oleh kemalangan.














