fbpx

Mahkamah: Pekerja kilang tular curi kereta dipenjara setahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Syazrul dibawa anggota polis ke Mahkamah Majistret Shah Alam, hari ini.-Foto SHIDDIEQIIN ZON

SHAH ALAM – Perbuatan seorang pekerja kilang yang tular mencuri kereta di kedai cuci kenderaan, minggu lalu menerima pembalasan apabila dijatuhi hukuman penjara setahun oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Sasha Diana Sabtu memutuskan demikian selepas tertuduh, Mohd. Syazrul Yahya, 27, mengaku bersalah atas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa dengan niat mencuri sebuah Honda City bernilai RM85,000 milik seorang wanita berusia 51 tahun.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah kedai cuci kenderaan di Seksyen 16 di sini, kira-kira pukul 8 malam, 20 November lalu.

Justeru, Mohd. Syazrul dituduh mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman tidak lebih tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Annur Athirah Amran memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal dengan mengambil kira faktor kekerapan kes dan kepentingan awam.

Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Marcus Low yang mewakili tertuduh memohon hukuman diringankan kerana anak guamnya mempunyai tanggungan seorang bapa.

“Walaupun masih bujang, anak guam saya yang berpendapatan RM3,000 sebulan menanggung bapanya berusia 62 tahun.

“Selain amat menyesali atas perbuatannya, pengakuan bersalah itu menjimatkan kos dan masa mahkamah,” katanya.

Kosmo! sebelum ini melaporkan mangsa menyerahkan kunci keretanya kepada suspek yang disangka salah seorang pekerja kedai berkenaan.

Bertindak atas maklumat, polis berjaya menahan suspek di sekitar Pokok Sena, Kedah, pukul 6.10 pagi Khamis lalu dan merampas kereta yang dilarikan ketika kejadian. -KOSMO!ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI