fbpx
SEKIAN lama menyepi dek kekecewaan dengan diri sendiri, Hafiz Suip kini bangkit kembali untuk meneruskan perjuangan dalam industri muzik dengan kelahiran single baharu, Terus Bersinar.

Hafiz Suip, dahulu lain, sekarang lain

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PENAMPILAN penyanyi asal Kuching, Sarawak itu telah banyak berubah, berbanding ketika awal kemunculan dalam industri, 15 tahun lalu.

Dahulu, imej rambut ‘kembang’ dan keriting cukup sinonim dengan Hafiz Suip.

Bentuk badan penyanyi yang dahulunya dikenali dengan nama Hafiz AF itu pula ‘comel’, jika hendak dibandingkan dengan sekarang.

Pencapaian sepanjang bergelar anak seni yang diraih pemilik vokal lantang itu juga cukup membanggakan.

Selama tiga tahun berturut-turut, Hafiz berjaya membawa pulang trofi Vokal Terbaik pada Anugerah Juara Lagu menerusi impak tiga buah dendangannya, Noktah Cinta (AJL25), Awan Nano (AJL26) dan Ku Akui (AJL27).

Selang beberapa tahun kemudian, Hafiz kembali merampas takhta apabila sekali lagi membawa pulang trofi Vokal Terbaik AJL menerusi lagu Kisah Cinta Kita (AJL34).

Selepas AJL34, kehangatan Hafiz semakin hilang. Cuma sesekali namanya ditulis media, itu pun dek perubahan fizikalnya yang semakin kurus sehingga menimbulkan tanda tanya.

Peluang HibGlam bertentang mata dengan pemilik nama lengkap Mohamad Hafiz Mohamad Suip, 33, baru-baru ini membongkar kisah yang dialaminya sepanjang tempoh menghilang.

PENYANYI berusia 33 tahun ini bersedia untuk mengadakan konsert solo dan masih menunggu peluang itu tiba selepas 15 tahun berkecimpung dalam bidang seni. – AMIR KHALID

Kekecewaan

Hafiz mengakui ketika dalam fasa menyepi, dia sebenarnya sedang ‘berperang’ dengan perasaan sendiri sehingga membuatkan hidupnya berkecamuk.

Malah, disebabkan rasa kecewa Hafiz pernah hilang semangat untuk meneruskan kerjaya nyanyian yang telah diceburinya sejak 15 tahun lalu.

“Sejujurnya saya pernah berada dalam satu fasa ‘terduduk’ mungkin disebabkan faktor usia. Kepala saya semakin botak, manakala stamina pula tidak lagi sekuat ketika zaman remaja.

“Nyanyi dua tiga lagu pun dah naik mengah. Benda-benda begitu membuatkan saya terkesan. Pada masa sama industri kita dibanjiri dengan pendatang baharu yang bersilih ganti.

“Tapi saya percaya, kehidupan ini umpama roda. Ada masa kita di atas, ada masa di bawah. Cuma kita kena percaya dengan perancangan Allah,” jelasnya.

Cuba bangkit dengan semangat juang baharu, Hafiz tekad untuk terus melangkah demi memperjuangkan kerjaya seni yang terbina daripada darah dan air mata.

Untuk kembali menjadi bualan peminat, mahu tidak mahu Hafiz perlu menggunakan strategi mencipta kontroversi supaya kehadirannya untuk kembali mewarnai industri dunia hiburan, disedari peminat.

DENGAN kelahiran single terbaharu berjudul Terus Bersinar, Hafiz berjanji untuk tidak lagi menghilangkan diri dari radar dunia hiburan seperti sebelum ini.

Gimik

Maka, lahirnya Hafiz Suip dengan imej berambut hijau, sekali gus melonjakkan namanya menjadi sebutan peminat yang semakin melupakan siapa dirinya.

“Zaman sekarang ialah zaman media sosial. Daripada situ, timbul idea untuk saya warnakan rambut menjadi hijau sebagai gimik bagi pelancaran single terbaharu saya, Terus Bersinar.

“Saya perlu akui bahawa gimik sangat penting bagi seorang selebriti untuk mempromosikan bukan sahaja diri mereka, tetapi juga produk yang hendak dijual,” katanya.

Biarpun menyedari perbuatan mewarnakan rambut melanggar hukum agama, Hafiz berkata dia berbuat demikian atas dasar kerjayanya dalam dunia hiburan dan sebagai penghibur.

ENGGAN dilabel sebagai kufur nikmat, Hafiz memohon kepada Tuhan semoga sentiasa diberikan kekuatan untuk bangkit daripada kekecewaan lalu.

Rindu rambut

“Saya sedar apa yang saya lakukan ini (mewarnakan rambut), sebenarnya salah dari sudut agama. Tapi saya lakukannya kerana saya berada dalam dunia hiburan.

“Apa-apa pun, saya lega kerana publisiti tersebut berjaya mencuri perhatian umum.

“Saya akui gimik itu menjadi apabila diperkatakan dan mencetuskan perdebatan dalam kalangan netizen,” ujar Hafiz.

Sekadar bertahan selama lima hari sebelum kembali membotakkan kepalanya, Hafiz berkata jauh di sudut hati, dia sebenarnya amat merindui zaman memiliki rambut keriting dengan fizikal agak berisi seperti dahulu.

“Sebenarnya saya rindu ketika zaman berambut panjang (keriting). Tapi dalam versi badan saya sekarang (kurus). Dahulu sewaktu saya ada rambut, badan saya berisi.

“Tapi itulah, nak tunggu ada rambut, makan masa sikit.

“Kalau tanya saya sama ada memilih rambut atau kurus, saya akan pilih rambut. Sebab rambut adalah ‘mahkota’ kita,” katanya berseloroh.

SELEPAS 15 tahun berkecimpung dalam dunia seni, Hafiz kini ‘masak’ dengan segala sepak terajang bergelar anak seni.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN