fbpx

UiTM bantu perkasa bidang STEM di sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AINOL SHAHARINA (tiga dari kanan) bersama Wan Mohd. Nazri (tiga dari kiri) bergambar bersama wakil sekolah terlibat di UiTM cawangan Pahang baru-baru ini.

PENGLIBATAN pelajar dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) wajar digalakkan kerana ia sesuatu yang penting buat negara.

Pelbagai inovasi akan terhasil apabila bidang ini dikuasai pelajar.

Dalam usaha memperkasakan STEM di peringkat sekolah, Unit Sains Komputer, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dengkil, Selangor telah menganjurkan program Fostering Technovators for the Future among Raub Secondary School.

Ia merupakan program khidmat masyarakat siri ketiga dengan kerjasama UiTM Raub, Pahang di bawah tajaan Yayasan Telekom Malaysia (YTM).

Program itu merupakan sebahagian daripada projek TechEd: Technovators of The Future yang melibatkan peruntukan berjumlah RM142,700.

Lima sekolah di sekitar Raub telah menyertai program tersebut yang diadakan di UiTM cawangan Pahang.

Ketua Projek TechEd, Ts. Dr. Syed Mohd. Zahid Syed Zainal Arifin berkata, program itu diadakan untuk mendedahkan STEM kepada para pelajar sekolah.

Menurutnya, usaha tersebut penting bagi menarik minat pelajar mendalami bidang tersebut apabila tamat persekolahan kelak.

“Kita lihat sekarang pengambilan pelajar untuk bidang berkaitan STEM ini agak berkurangan.

“Kita berharap melalui program sebegini ia boleh memupuk minat pelajar sekolah mendalami jurusan ini apabila menyambung pengajian kelak,” katanya.

Sepanjang program itu berlangsung, pelbagai aktiviti pengisian diadakan termasuk pengenalan Arduino, bengkel hands-on Arduino serta pembangunan dan pembentangan projek Arduino oleh kumpulan pelajar.

WAKIL penganjur bergambar kenangan bersama pelajar-pelajar yang berjaya memenangi pertandingan.

Melalui program itu, pelajar dan guru dibekalkan set kit Arduino, buku modul teori serta amali yang ditulis oleh para pensyarah daripada Unit Sains Komputer, UiTM Dengkil.

Selain itu, setiap sekolah turut dibekalkan dengan 10 set kit Arduino dengan nilai keseluruhan berjumlah hampir RM3,000.

Sumbangan kit Arduino itu merupakan pemangkin kepada usaha sekolah meneruskan pelbagai aktiviti berkaitan STEM, lantas memberi manfaat kepada lebih ramai pelajar.

Arduino merupakan satu perisian elektronik yang digunakan untuk menghasilkan kereta kawalan jauh, dron dan lain-lain lagi.

Program itu telah berlangsung selama dua hari dengan majlis perasmian penutupan dan penyampaian hadiah dihadiri oleh Pengarah YTM, Ainol Shaharina Sahar serta Timbalan Rektor Penyelidikan dan Jaringan Industri, UiTM Pahang, Prof. Dr. Wan Mohd. Nazri Wan Abdul Rahman.

Turut hadir ialah Pengarah Pusat Asasi, UiTM Dengkil, Prof. Ir. Dr. Ahmad Farid Abidin; Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, Ahmad Halimi Harun dan Penolong Rektor, UiTM Raub, Dr. Saharani Abdul Rashid.

Mengulas lanjut, Syed Mohd. Zahid berkata, pihaknya berharap inisiatif dilaksanakan itu dapat memberi impak positif kepada para pelajar mendalami pelajaran dalam bidang STEM.

“Menerusi ilmu yang dipelajari dalam program ini, ia diharap dapat membantu para guru meneruskan usaha memupuk minat pelajar dalam bidang STEM.

“Guru juga boleh menggalakkan minat pelajar menerusi penubuhan kelab-kelab berkaitan STEM seperti kelab robotik di peringkat sekolah.

“Rata-rata pelajar yang menyertai program ini kelihatan begitu gembira,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI