fbpx

Polis Johor nafi ‘escort’ Makcik Kemboja keluar kilang selepas diserbu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TANGKAP layar video yang tular di TikTok berhubung kemelut Makcik Kemboja yang didakwa menghina dan mengatakan orang Melayu malas sehingga mendapat kecaman pelbagai pihak.

JOHOR BAHRU – Polis Johor menafikan dakwaan kereta pengiring polis untuk membantu mengiringi (escort) seorang wanita yang dikenali sebagai ‘Makcik Kemboja’ untuk keluar dari kilang menjahit pakaian pukal di Skudai, semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, tiada sebarang arahan sedemikian dikeluarkan oleh pihaknya mahupun Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh.

Tegas beliau, Polis Johor meminta orang awam atau saksi tampil menyalurkan maklumat jika benar kejadian seumpama itu berlaku.

“Isu ‘escort’ yang dikatakan (menerusi TikTok) itu mana ada berlaku. Saya atau OCPD (Ketua Polis Daerah) tidak ada keluarkan sebarang arahan pun (untuk escort).

“Jadi, siapa yang tahu kes itu, tampil pada polis, beri maklumat pada polis,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Kamarul Zaman berkata, pasukan polis hadir di lokasi untuk mengawal situasi dan menjaga keamanan setelah beberapa individu dilihat berkumpul di hadapan premis tersebut.

“Semalam, kita terima laporan ada berlaku kekecohan beberapa individu datang ke kilang wanita itu. Jadi, polis hadir ke lokasi untuk kawal keadaan. Itu sahaja.

“Isu ‘escort’ tidak ada. Kita cuma nak jaga keamanan bila ada orang ramai berkumpul di sesuatu lokasi. Ini isu lain, isu yang dilakukan wanita itu (didakwa hina Melayu) itu isu lain yang kini dalam siasatan Polis Melaka,” jelasnya.

Terdahulu, tular beberapa rakaman video di TikTok menunjukkan seorang individu mempersoalkan tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengiringi wanita yang berasal dari Kemboja itu meninggalkan kilangnya ketika kekecohan berlaku, semalam.

Dakwa individu itu, tindakan PDRM berbuat demikian adalah memalukan seolah melindungi warga asing yang telah menghina bangsa Melayu.

Hantaran individu berkenaan mengundang kecaman pengguna TikTok yang lain sehingga ada yang menuduh polis menerima bayaran daripada pihak wanita terbabit untuk berbuat demikian.

Pada masa sama, Kamarul Zaman sekali lagi menegaskan tidak ada mana-mana pihak yang membayar polis untuk mendapatkan khidmat kereta pengiring dalam kes berkenaan.

“Tiada siapa bayar siapa. Kalau benar ia berlaku dan sesiapa yang tahu, jumpa saya, beri maklumat,” katanya tegas.

Semalam, beberapa individu dipercayai bekas pekerja kilang jahit pukal milik usahawan warga Kemboja di Skudai itu berkumpul di hadapan premis berkenaan bagi meminta penjelasan selepas seorang lelaki yang mendakwa anak kepada Makcik Kemboja itu mencabar untuk datang bertemu dengannya di kilang terbabit selepas berang ibunya dihina.

Turut sama berada di hadapan premis berkenaan ialah Pengerusi Surplus Pulau Pinang, Sophian Mohd Zain dan individu yang dicabar anak usahawan terbabit.

Isu itu mula tular selepas tindakan usahawan wanita yang mengaku warga Kemboja itu mendakwa bangsa Melayu malas minggu lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI