fbpx

Angkara cemburu, pelajar ‘lembut’ utus surat layang kepada pengetua

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kemunculan seorang guru pendidikan seni kacak di sekolah menyebabkan hubungan persahabatan Mira dan Syafiq musnah apabila kedua-duanya menaruh hati kepada guru itu. – Gambar hiasan

SEJAK di bangku sekolah, pemuda itu sentiasa merasakan dirinya berbeza dengan rakan-rakan lelaki yang lain.

Dirinya tidak suka bermain bola sepak dan melakukan aktiviti sukan tetapi lebih gemar bermain batu seremban atau congkak bersama murid perempuan.

Tambahan pula, dengan perwatakan lembut, Syafiq (bukan nama sebenar) sering diejek oleh segelintir pelajar lelaki sebagai ‘pondan’ dan gelaran yang seangkatan dengannya.

Menurutnya, oleh kerana sering dibuli, dia kemudian telah berpindah ke sekolah lain di kampung halamannya di Baling, Kedah.

“Di sekolah baharu, saya tidak banyak bergaul dan lebih memilih menyendiri untuk menutup perwatakan lembut bagi mengelak daripada dibuli.

“Saya juga menjadi seorang yang pendiam dan lebih gemar menghabiskan masa di perpustakaan setiap kali waktu rehat atau sementara menunggu Kelas Agama Fardu Ain (KAFA),” katanya ketika dihubungi Panorama, baru-baru ini.

Tambahnya, walaupun kurang bergaul, Syafiq masih mempunyai dua kawan rapat iaitu Tina dan Mira (bukan nama sebenar) yang juga merupakan jiran di rumah nenek tempat dia tinggal.

Kongsinya lagi, walaupun mereka rapat, pernah terjadi suatu ‘rahsia’ yang Syafiq simpan sehingga hari ini.

Insiden ini berlaku antara dia dan Mira sewaktu mereka di sekolah menengah yang sama, manakala Tina telah berpindah ke sekolah berasrama penuh.

Ketika itu, mereka di tingkatan lima dan ada seorang guru lelaki baharu yang mengajar pendidikan seni berpindah di sekolah.

Kata Syafiq, guru tersebut masih muda dan mempunyai rupa paras yang kacak, membuatkan Mira jatuh hati pada dirinya.

Disebabkan cemburu, Syafiq tergamak memusnahkan hubungan cinta sahabat baiknya, Mira dan guru lelaki itu dengan menulis surat layang kepada pengetua sekolah.
– GAMBAR HIASAN

“Mira sentiasa memuja cikgu tersebut, tambahan pula dia mengajar kami subjek pendidikan seni yang kami ambil untuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Namun begitu, apa yang Mira tidak tahu, dalam diam, saya juga menaruh hati pada guru tersebut walaupun hal itu salah di sisi agama,” ujarnya.

Jelasnya lagi, dia jatuh hati pada guru berkenaan kerana sikapnya yang ramah dan sentiasa prihatin terhadap murid-murid.

Malah, sewaktu rehat atau selepas sekolah, guru tersebut sering menyapa mereka dan pernah menawarkan dia dan Mira untuk pulang dari sekolah bersama-sama.

Syafiq juga sentiasa mencari peluang untuk akrab dengan guru tersebut dan sentiasa melibatkan Mira supaya tidak timbul syak wasangka.

Keakraban antara dia, Mira dan guru tersebut juga terjalin dan mereka turut meluangkan masa di luar waktu sekolah.

Namun begitu, suatu perkara yang tidak diduga Syafiq berlaku apabila Mira memberitahunya bahawa dia dan cikgu tersebut sedang bercinta.

“Saya terkejut mendengarkan hal itu dan cuba bersikap tenang dengan bertanya bagaimana ia boleh berlaku.

“Mira bercerita bahawa dia dan cikgu berkenaan sering keluar bersama tanpa Syafiq dan lama-kelamaan keakraban itu bertukar menjadi perasaan cinta,” kongsinya.

Mengetahui hal itu, api cemburu menyala dalam diri Syafiq, dia dalam diam tidak menyukai hubungan tersebut dan merasakan bahawa dia yang selayaknya berada di tempat Mira.

Perasaan tersebut semakin membara apabila Syafiq turut diajak menjadi peneman Mira ketika keluar bersama guru tersebut, malah lebih meluat ketika melihat kemesraan mereka bersama.

Hingga pada suatu hari, perasaan cemburu tidak dapat dibendung, Syafiq bertindak melaporkan perkara tersebut melalui surat layang kepada pengetua sekolah.

“Saya kumpulkan bukti dengan merakam gambar semasa mengikut mereka berduaan di pekan secara rahsia.

“Kemudian, saya tulis satu surat dan mengepilkan gambar berkenaan sebelum mengeposnya ke sekolah,” ceritanya.

Surat layang itu mencetuskan berita tergempar di sekolah yang menyebabkan Mira dan guru berkenaan dipanggil oleh pengetua.

Berita itu turut tersebar dalam kalangan guru-guru yang mengetahui hal berkenaan daripada kerani sekolah yang membaca surat tersebut.

Susulan kejadian itu, guru berkenaan telah dipindahkan ke sekolah lain, manakala Mira turut dipindahkan oleh ibu bapanya ke sekolah asrama.

Syafiq mengakui bahawa awalnya dia berasa puas dengan apa yang berlaku, namun selepas ketiadaan Mira dia mula berasa sunyi dan tidak lagi mempunyai kawan.

Sehingga hari ini, dia tidak pernah lagi berjumpa Mira, malah jika ada peluang bertemu dia tidak tahu bagaimana untuk menceritakan tentang hal tersebut kepadanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI