fbpx

Nak rawat saka, kena cabul pula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

JEMPOL – Seorang wanita berdepan detik menakutkan apabila hasratnya untuk merawat penyakit saka dengan seorang pengamal perubatan tradisional di perkampungan tradisi Baru Kikir, di sini, kelmarin berakhir dengan dirinya dicabul.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, mangsa yang beralamat di Sepang, Selangor berusia 50 tahun membuat laporan polis semalam dan suspek berusia 65 tahun ditangkap sejurus laporan dibuat bagi membantu siasatan.

Menurut beliau, berdasarkan siasatan awal, kejadian dipercayai berlaku sekitar pukul 4.30 petang kelmarin semasa mangsa ke kediaman suspek untuk berubat secara tradisional kerana merasakan mempunyai sakit saka dalam badan.

“Suspek telah mengarahkan mangsa untuk minum segelas air dan meminta mangsa berbaring di atas tilam yang diletakkan di beranda rumah. Semasa membuat rawatan suspek telah menjerit bertanya asal usul sambil menekan badan mangsa dengan bantuan isteri suspek.

“Selepas isteri suspek masuk ke dalam rumah, suspek telah memasukkan tangan ke dalam pakaian mangsa dan menyentuh bahagian badan mangsa yang tidak sepatutnya,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Jelas Chang Hook lagi, mangsa telah mendapatkan rawatan di Hospital Jempol selepas kejadian berkenaan dan kes kini disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Menurutnya, suspek mempunyai satu rekod lampau pada tahun 2010 di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan.

“Suspek yang telah ditangkap kini telah diberi jamin polis kerana faktor kesihatan setelah siasatan selesai dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI